Lawan rasa ‘gayat’ di Jejantas Rimba FRIM Kepong

BERDIRI pada ketinggian 50 meter (m) sambil menikmati panorama indah di pinggir kota raya Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai satu pengalaman yang menakjubkan.

Namun, tidak semua orang boleh melakukannya.

Lebih-lebih lagi jika anda memiliki phobia atau rasa takut pada ketinggian yang turut dikenali sebagai acrophobia.

Jika anda mahu mencabar diri, apa kata anda berjalan sejauh 250m di Forest Skywalk milik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dekat Kepong, Kuala Lumpur.

Salah satu pemandangan indah menara setinggi 50 meter.

 “Secara peribadi, saya cukup seronok berada di Forest Skywalk FRIM Kepong ini. Walaupun ia sedikit mencabar kerana perlu memanjat tangga untuk sampai ke atas jejantas, ia bukan halangan demi mendapatkan pemandangan indah di sekitar Taman Botani Kepong yang menghijau.

“Jika anda suka bergambar, ini adalah lokasi terbaik dan unik buat anda. Walaupun saya sedikit gayat, ia tidak membantutkan saya untuk menikmati pengalaman menarik berada di Titian Silara ini,” kata Mohd. Najib Asri, 40.

Mohd. Najib yang mengikuti ekspedisi rakan media anjuran Kelab Kembara Kosmopolitan pada 27 November 2021 itu berkata, selain berpeluang menguji keberanian menaiki jejantas yang berada di atas pokok itu, dia juga teruja melihat pemandangan indah sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Seramai 12 orang peserta Kelab Kembara Kosmopolitan menyertai ekspedisi rakan media ke Taman Botani Kepong pada 27 November 2021.

Selepas hampir lapan bulan pembukaannya ditangguhkan, tarikan terbaharu di Lembah Klang itu dibuka kepada orang ramai sejak Ogos 2021.

Forest Skywalk atau juga dikenali sebagai Jejantas Rimba itu terdiri daripada beberapa pelantar dengan ketinggian antara 18 hingga 50 meter (m) dan panjang keseluruhan 250m.

Proses pembinaan jejantas yang terletak dalam Taman Botani Kepong itu bermula 15 Disember 2018 dan siap sepenuhnya pada 16 Disember tahun lalu.

Namun, ia tidak dapat dibuka lebih awal kerana pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun Jejantas Rimba itu baharu sahaja dibuka, sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

Salah satu pemandangan indah dari atas Skydeck.

 “Jejantas Rimba menawarkan pemandangan indah hutan matang (arah utara) dan pemandangan sekitar Taman Botani Kepong (arah selatan).

“Di atas menara peninjauan 50m pula, pengunjung dapat melihat pemandangan sejauh lebih kurang 30km serta bangunan-bangunan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seperti Menara KLCC, Menara KL, Menara Tun Razak Exchange dan Menara Telekom Malaysia ke arah timur manakala jika memandang ke arah barat, pengunjung akan disajikan pemandangan hutan ladang.

“Pembukaan Jejantas Rimba ini menawarkan tarikan pelancongan terbaharu kepada orang ramai khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang,” kata Pegawai Media FRIM, Lim Chung Lu.

Jejantas berkenaan didirikan di atas tanah seluas 0.83 hektar di Taman Botani Kepong.

Tasik yang melatari Taman Botani Kepong.

Ia disiapkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.2 juta menerusi peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Jejantas itu diperbuat daripada aluminium dan rekaannya sesuai untuk pemuliharaan alam sekitar.

“Rekaan jejantas itu diinspirasikan daripada jejantas di Ireland Utara selain turut diguna pakai di beberapa negara termasuk Brunei.

“Konsep jejantas itu juga disesuaikan dengan fokus utama FRIM iaitu mengutamakan pemuliharaan hutan, keselamatan dan keselesaan pengguna untuk bersantai termasuk golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Pemandangan kota raya Kuala Lumpur dari ketinggian 50 meter.

Bagaimanapun, untuk keselamatan, hanya 150 pengunjung dibenarkan dalam sesuatu sesi iaitu 125 orang di Skydeck manakala 25 lagi di Skydeck dan menara (setinggi 50m) dengan pengawasan empat petugas.

“Hanya lima pengunjung dibenarkan berada di atas sesuatu pelantar kerana ia laluan sehala dan pengunjung dilepaskan secara berperingkat,” tambah Chung Lu.

Bagi kumpulan yang melebihi 10 peserta, tempahan awal perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh lawatan dan perkhidmatan juru pandu alam (nature guide) diwajibkan.

Pemandangan dari arah bawah Jejambat Rimba.

Waktu operasi Jejantas Rimba bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari pada hari Isnin hingga Ahad manakala pada hari Jumaat ia ditutup kepada orang ramai.

Harga tiket pula ditetapkan sebanyak RM8 bagi pelajar (berusia 7 hingga 17 tahun) dan kakitangan FRIM, RM10 bagi warga emas serta RM15 untuk orang dewasa. Kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini.

Denai Razak mesra pengunjung berkerusi roda.

Lim Chung menambah, Denai Razak yang terletak berdekatan dengan Taman Botani Kepong adalah satu-satunya denai yang boleh dikunjungi tanpa memerlukan khidmat juru pandu.

“Keseluruhan laluan Denai Razak telah disimen bagi memudahkan pengunjung termasuk yang berkerusi roda. Laluan denai ini adalah dalam satu pusingan besar. “Laluan masuk dan keluar berdekatan antara satu sama lain. Oleh itu para pengunjung tidak perlu risau dalam memilih laluan mana yang ingin diikuti,” katanya.

Laluan yang masih ditutup dari Denai Razak ke Jejambat Rimba.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles