fbpx

NFDP bangga majoriti graduannya mara ke final B-19 AFF

KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berbangga dengan pencapaian produk yang dihasilkannya.

Ia berikutan majoriti besar iaitu 21 daripada 25 pemain skuad bawah (B)-19 tahun kebangsaan yang mara ke final Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) adalah graduannya.

Menurut catatan di Facebook, NFDP meluahkan kebanggaan dengan prestasi dipamerkan oleh skuad Harimau Muda untuk mara ke final selepas membenam pasukan pilihan Vietnam 3-0 di Bekasi, Indonesia semalam.

“Kami mendoakan kejayaan pasukan negara untuk aksi final nanti menentang pasukan Laos esok. Selamat berjaya, Malaysia!” menurut NFDP.

Antara 21 graduan NFDP adalah Muhammad Haikal Sahar dari Pusat Latihan Daerah (PLD) Selangor, Adli Ahamad (PLD Pasir Puteh) dan Haqimi Azim (Sekolah Sukan Negeri Kuala Lumpur).

Graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) pula terdiri daripada Syahmi Adib Haikal, Muhammad Faiz Amer Runizar, Fakrul Fareez, Azannis Adzri, Haiqal Haqeemi, Ziad El Basheer dan Najmudin Akmal dari generasi 2003.

Generasi 2004 AMD terdiri daripada Abdul Rahman, Alif Farhan, Izrin Ibrahim, Aliff Izwan, Danish Irfan, Adam Farhan, Adam Daniel dan Zulhilmi Sharani serta AMD 2005: Zuryhakim Zafran, Adam Haikal dan Mohammad Haykal Danish.

Malaysia dijadualkan bertemu pasukan Laos di peringkat akhir malam esok.

Pencapaian terbaik skuad negara di pentas Kejuaraan B-19 AFF adalah semasa menjuarai edisi 2018 dengan menumbangkan Myanmar 4-3 pada final di Indonesia.

Malaysia juga berjaya mara ke final ketika edisi terakhir pada 2019 di Vietnam, namun dikecewakan Australia yang merangkul kejuaraan kelima dengan keputusan 1-0.

– BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles