OTTAWA: Sepasang bayi lelaki dan perempuan di Kanada yang lahir hampir empat bulan sebelum tarikh sepatutnya, menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama, baru-baru ini.
Adiah dan Adrial Nadarajah mencipta Rekod Dunia Guinness sebagai bayi kembar paling pramatang yang masih hidup selepas berumur setahun pada 4 Mac lalu.
Pasangan kembar itu dilahirkan pada usia kandungan 22 minggu atau 126 hari lebih awal berbanding tarikh jangkaan kelahiran mereka.
Adiah dan Adrial berjaya memecahkan satu hari rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh bayi kembar pramatang dari Amerika Syarikat (AS) pada 2018.
Rekod Dunia Guinness menerusi laman sesawang memaklumkan Adiah dan Adrial yang masing-masing memiliki berat hanya 330 gram dan 420 gram, juga merupakan kembar paling ringan semasa dilahirkan.
Menurut ibu bapa pasangan kembar itu, mereka diberitahu oleh doktor bahawa harapan kedua-dua anaknya itu hidup tipis selepas lahir dalam keadaan pramatang.
“Apabila saya bersalin, kedua bayi saya dinafikan hak untuk hidup dan hampir dibiarkan untuk mati,” kata ibu kembar itu, Shakina Rajendram.
Rekod Dunia Guinness turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan kembar itu sedang duduk di atas sofa bersebelahan sijil berbingkai pengiktirafan yang diterima.
Dalam gambar itu, Adiah kelihatan terkejut dengan mulutnya terbuka manakala abangnya, Adrial pula dilihat termenung.
Bayi kembar itu digambarkan sebagai sangat kurus dengan kulit sangat nipis semasa dilahirkan.
Selepas enam bulan berada di hospital yang menyaksikan doktor menangani beberapa komplikasi termasuk pendarahan otak dan sepsis, bayi kembar itu akhirnya dibenarkan pulang ke rumah.
Sejak itu, menurut agensi pengiktirafan itu, berat badan Adiah bertambah sehingga 18 kali ganda.
Adrial pula mengalami masalah pernafasan dan jangkitan sehingga terpaksa kembali mendapatkan rawatan di hospital selama dua kali namun dia masih membesar dengan baik. – (Sumber Utusan Malaysia Online)