KUANTAN – Khatib solat Jumaat Masjid Saidina Ali bin Abi Talib, Bukit Sekilau di sini mengingatkan umat mengenai bahaya dan suasana akhir zaman yang menguji pelbagai cabaran akibah.
Ustaz Izudin Muhamad Amin ketika menyampai khutbah hari ini berkata, keadaan akhir zaman itu telah diingatkan sendiri oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat serta umat Islam.
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.
“ Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara berkaitan perkara umum yang besar. (Riwayat Ibn Majah),” kata Izudin.
Malah, antara gambaran akhir zaman apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW ialah apabila manusia kian berani bersumpah atau mengangkat sumpah menyatakan dia betul dengan menyebut nama Allah SWT.
Izudin berkata, akhir zaman juga menyaksikan ada kalangan manusia mengangkat sumpah dengan memegang al-Quran serta menyebut nama Allah SWT seolah-olah sumpah dia betul dan benar walaupun pada hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu bahawa ia sebenarnya bukan satu kebenaran.
Sidang Jumaat sekalian, suasana akhir zaman juga menyaksikan kecoh sana-sini mengenai cerai berai, perkahwinan dan yang berkaitan dengannya.
“Bukan sahaja melibatkan individu tertentu, juga golongan selebriti. Ia menjadi keseronokan perbualan dalam media-media sosial.
“Pendedahan, keburukan dan kekurangan yang berlaku menjadi perang sesama kita dalam media sosial.
“ Semua ini seolah-olah tidak ada rasa malu. Ditambah pula komen yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengherdik kejadian-kejadian yang berlaku dengan menumpukan pada orang-orang tertentu apabila soal rumah tangga didedahkan.
“Juga sekarang menjadi trend, komen-komen nitizen yang banyak seolah-olah membanggakan dapat ‘like’, view dan sebagainya.
“Tahukan dan sedarkan kita, komen-komen yang ribuan itu sebenarnya telah menarik lebih ramai lagi netizen untuk turut serta dan menyebabkan keadaan menjadi lebih parah,” katanya.
Khatib juga berkata, keadaan yang berlaku ini menyebabkan golongan ahli agama ada yang cuba sedaya upaya memberi nasihat serta menegur, namun pendedahan itu terus juga berlaku.
“ Seolah-olah teguran ahli agama terhadap isu-isu cerai berai itu tiada yang mahu terima.
“Sebaliknya ‘like’ dan view sesuatu kisah itu daripada netizen menjadikan kelompok netizenlah yang menjadi hakim kepada penyelesaian isu-isu tersebut. Keadaan ini sesungguhnya amat menyedihkan. Nasihat orang agama sudah diketepikan. Inilah antara gambaran akhir zaman,” katanya.
Khatib seterusnya mengajak para jemaah supaya bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa-Taala dengan memperbanyakkan amal ibadah dan meninggalkan perbuatan yang mungkar supaya mendapat reda Allah Subhanahu wa Taala di dunia dan akhirat.