ALOR SETAR: Hasrat seorang lelaki menghalau anjing liar yang mengganggu ternakan kambingnya, bertukar malang apabila empat jari tangan kirinya hancur akibat letupan mercun bola yang digunakan dalam kejadian itu malam tadi.
Dalam kejadian jam 10 malam tadi, mangsa berusia 34 tahun itu dikatakan membakar mercun bola itu bagi menghalau anjing liar yang mengganggu kambing peliharaannya berhampiran rumah di Kampung Paya Besar dekat Pokok Sena.
Mangsa berkata, sejurus membakar sumbu, mercun itu meletup belum sempat ia dilempar.
“Akibat letupan mercun itu, saya tengok tangan saya dah nampak tulang putih, manakala empat jari hancur selain cedera di perut.
“Di kawasan rumah, memang banyak anjing liar dan sebelum ini pernah makan kambing saya antara tujuh hingga lapan ekor, disebabkan saya baling mercun bola untuk halau anjing liar di situ.
“Tapi tak sangka ini yang terjadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa berkata, dia kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Katanya, susulan kejadian itu, dua jarinya terpaksa dipotong, manakala dua lagi kudung akibat kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan kejadian itu berlaku semalam namun tiada laporan polis dibuat setakat ini.(Sumber Berita Harian Online)