MANCHESTER: Dua jaringan sendiri pada minit-minit terakhir meninggalkan kesan mendalam buat Manchester United untuk mara ke separuh akhir Liga Europa apabila Sevilla terselamat dengan keputusan 2-2 daripada aksi pertama suku akhir mereka di Old Trafford, awal pagi tadi.
United turun beraksi di laman sendiri dengan keazaman tinggi untuk memburu kemenangan, berjaya menjaringkan dua gol pada babak pertama menerusi Marcel Sabitzer pada minit ke-14 dan 21.
Begitupun kehilangan bek tengah yang mengalami kecederaan, Raphael Varane dan Lisandro Martinez nyata memberi tamparan kepada United, menyaksikan Tyrell Malacia dan Harry Maguire menjaringkan gol sendiri pada baki enam minit terakhir dan juga masa tambahan.
United juga terpaksa mengharungi perlawanan tanpa Bruno Fernandes pada aksi kedua 20 April ini selepas meraih kad kuning yang menjurus kepada penggantungan.
“Kami melepaskan dua gol sendiri, agak malang dan kami perlu menerimanya,” kata pengurus United, Erik ten Hag. “Kami harus belajar untuk memuktamadkan permainan tetapi semuanya masih lagi terbuka.”
Pasukan tuan rumah beraksi tanpa penjaring terbanyak mereka, Marcus Rashford yang masih cedera namun masih mampu membuktikan keupayaan menerusi Sabitzer yang meledak dua gol pada babak pertama.
Kemunculan semula Anthony Martial daripada kecederaan hadir tepat pada waktunya buat Ten Hag dengan Rashford berkemungkinan terpaksa diketepikan untuk tempoh beberapa minggu lagi.
Pemain dari Perancis itu menjadi figura utama sejak pengendali dari Belanda itu mengemudi pasukan namun Ten Hag berkata sebelum perlawanan berlangsung yang pasukannya bermain di tahap terbaik dengan Martial berada di depan. – (Sumber Berita Harian Online)