KISAH tiga ekor kucing dilemaskan di dalam mesin basuh di Kepong, pada 2020 manakala penemuan puluhan rangka dan bangkai kucing dipercayai dibunuh serta dikerat ditemui di sebuah kondominium di Bandar Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, Mac lalu, antara kes penderaan haiwan dilaporkan.
Situasi itu sekali gus menggambarkan sifat amat kejam dan tidak perikemanusiaan si pelakunya.
Begitu juga kes seekor anjing mati dipanah di Alor Setar, Kedah, pada September tahun lalu memperlihatkan dangkalnya sifat manusia ini sanggup menganiaya haiwan.
Dengan jumlah haiwan terbiar di jalanan, kini semakin banyak ditemui di merata tempat memungkinkan isu penderaan berlarutan selagi ada pelaku yang tidak prihatin terhadap makhluk ini.
Kos makanan, penjagaan dan rawatan kesihatan elak jangkitan penyakit melambung tinggi, yang pastinya tiada perlindungan insurans perubatan mendorong ramai membiarkan haiwan itu dilepas bebas di jalanan.
Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid, berkata kucing cepat membiak, justeru sering dilihat di kedai makan, pasar atau sekitar rumah kedai yang sebilangan besarnya tiada pemilik.
Haiwan itu juga pasti tidak dimandulkan atau kembiri hingga membuatkan populasi kucing semakin banyak dan berkeliaran di jalanan.
“Apabila berlaku keadaan ini timbul kes penganiayaan dan penderaan haiwan seperti banyak yang tular di media sosial. Apabila ada kucing datang ke rumah orang, ia akan dipukul dan dicurahkan air panas.
“Sepatutnya kita sebagai negara Islam, itu tidak terjadi namun ia bermula apabila penjagaan yang tidak betul pemilik yang memelihara haiwan itu sendiri,” katanya.
Kucing di luar negara dijaga rapi
Berbeza di beberapa negara seperti Turki, Russia dan Jerman, haiwan itu dipelihara dengan baik, disayangi dan dihormati.
Malah, ia dijaga rapi, kucing dipastikan dalam keadaan selamat, biarpun haiwan itu bebas ke mana sahaja.
Di negara ini, katanya, ramai bersikap acuh tidak acuh dengan kebajikan dan kesihatan kucing.
“Di Eropah contohnya, Jerman, kerajaan mewajibkan ada lesen jika mahu memelihara kucing dan haiwan peliharaan mempunyai pasport serta dilengkapi cip.
“Proses pemandulan juga diketatkan untuk mengelakkan isu pembiakan.
“Walaupun masih ada kucing di jalanan tetapi ia tidak banyak seperti di negara ini, malah sebahagiannya mempunyai pemilik.
“Jika hilang atau kucing mendatangkan masalah kepada masyarakat, pemiliknya akan didakwa berdasarkan cip yang dipasang pada badan haiwan itu,” katanya.
Penguatkuasaan atasi penganiayaan kucing
Khalid berkata, isu penderaan kucing peliharaan dan kucing jalanan boleh di atasi dengan ketegasan penguatkuasaan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 atau Akta 722 bagi memastikan masyarakat bertanggungjawab terhadap keperluan kebajikan serta mengelak penganiayaan haiwan.
“Kita patut mendisiplinkan pemilik kucing dengan mewajibkan pemakaian cip, pasport dan pemandulan.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan penting berkaitannya. Tindakan Majlis Perbandaran Sepang menyediakan taman kucing, umpamanya wajar dipuji.
“Taman ‘one stop center’ diwujudkan membolehkan masyarakat beriadah tetapi, malah melakukan program ‘kucing angkat’.
“Jadi, kerajaan perlu memulakan sesuatu yang terbaik untuk kebajikan haiwan ini,” katanya.
Program kucing angkat atasi isu berkeliaran
Ketika Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023, baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Infrastruktur Selangor, Ng Sze Han, menegaskan kerajaan negeri bakal mengharamkan penjualan kucing dan anjing di semua premis jualan haiwan.
Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan PBT dan swasta mewujudkan pusat setempat atau ‘first shelter’ untuk haiwan terbiar seperti anjing dan kucing dengan mengambil konsep di Eropah.
Juga menempatkan hotel, kafe haiwan peliharaan, klinik dan perkhidmatan veterinar termasuk taman untuk anjing dan kucing.
Inisiatif Program Kucing Angkat oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), setiap khamis minggu kedua dan minggu keempat setiap bulan, bermula 11 Mei lalu juga harus dicontohi pihak lain.
“Sekiranya, semua PBT membuat program itu, kita boleh mengurangkan jumlah pengabaian haiwan pada masa depan,” katanya.
Di kawasannya di Kinrara, Puchong pula ada program pengambilan haiwan angkat setiap minggu diadakan di luar perkarangan sebuah pusat beli-belah. Kira-kira 20 ekor haiwan diambil pada setiap bulan bagi tujuan itu.
Tingkatkan kesedaran sayang kucing
Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd, berkata idea Program Kucing Angkat tercetus apabila pihaknya menyedari peningkatan jumlah kucing jalanan yang tidak terurus sehingga menimbulkan kacau dan mengganggu komuniti setempat.
“Bagi mengatasi masalah itu, MPHS mengambil inisiatif melancarkan ‘Program Adopsi Meow MPHS’ bertujuan mengurangkan populasi kucing jalanan dan terbiar di dalam kawasan operasi MPHS.
“Ia juga mempunyai ‘tagline’ iaitu ‘Mereka lebih dari sekadar haiwan, mereka adalah keluarga’ diharap mampu memberi rumah baharu dan kasih sayang kepada kucing jalanan.
“Pada masa sama, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan menyayangi haiwan,” katanya.
Mohd Hasry berkata, sebanyak 18 ekor kucing kini sudah diambil, namun setiap pemohon perlu mengikuti prosedur ditetapkan PBT.
“Pengambilan kucing angkat ini secara percuma dan orang ramai yang ingin mendapatkannya perlu membuat menghubungi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) untuk mengetahui bilangan kucing yang ada sebelum hadir ke majlis.
Sebarang tempahan terhadap mana-mana kucing akan dibenarkan mengambil gambar dan boleh disimpan.
“Pemohon perlu hadir dengan membawa sangkar untuk melihat dan memilih kucing yang ada. Sekiranya berminat, mereka hanya perlu mengisi borang pendaftaran dan memuat naik gambar.
“Mereka juga perlu membuat akujanji untuk menjaga kucing dengan baik, tidak menimbulkan isu kacau ganggu dalam kejiranan, berusaha memandulkan kucing yang dijadikan sebahagian keluarga mereka,” katanya.
Oleh itu, sama ada kucing atau anjing perlu disantuni dengan baik untuk mengelak berkeliaran tanpa diurus dengan sempurna dari segi pemakanan serta kesihatan sekali gus dapat mengelak jangkitan terhadap haiwan itu.
INFO
Kesalahan penganiayaan haiwan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015
– Memukul, menyepak, melebihkan muatan, mendera atau menakutkan mana-mana haiwan
– Terlebih naik atau terlebih tunggang mana-mana haiwan, kecuali untuk sukan ekuestrian
– Tidak menyediakan makanan, minuman untuk haiwan dalam kurungan
– Menyebabkan kesakitan atau cacatkan haiwan
– Mengurung, mengangkut dan membawa haiwan dengan apa-apa cara menyebabkan kesakitan atau penderitaan
– Menyimpan haiwan yang sakit tanpa alasan munasabah
– Pelagaan haiwan (membantu, menyimpan, menguruskan, membenarkan, menerima wang)
– Melapah, memanggang atau membunuh haiwan yang masih hidup
– Mengeluarkan mana-mana bahagian haiwan yang masih hidup seperti mendapatkan kulit, minyak atau produk lain
– Merantai/mengikat dengan tali/ rantai pendek/ berat
– Mengurung haiwan dalam sangkar atau bekas yang membataskan pergerakan semula jadi
* Hukuman boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya. (Sumber Berita Harian Online)