Melaka: Diuji kehilangan suami yang ditangkap dan hantar pulang ke negara asal Bangladesh pada September tahun lalu, wanita mualaf terpaksa membesarkan tiga anak kecilnya bersendirian.
Maria Abdullah, 41, mengambil upah mengupas jagung dengan bayaran 90 sen sekilogram demi memastikan duit belanja membeli susu dan makanan tiga anaknya tidak terputus.
Menurutnya, dia bangun jam 3 pagi dan mengikat perut dengan hanya minum kopi selama 12 jam dan ada kalanya tidak tidur seharian untuk menyiapkan kerja mengupas jagung segar.
Hasil pekerjaan dilakukan sejak Februari lalu itu Maria hanya menerima upah antara RM200 hingga RM700 sebulan dan tidak tidak mampu menyekolahkan anak sulungnya, Rojina, 8.
“Saya tak akan biar anak-anak susah, dapat saja duit jagung saya terus beli susu dan barang makanan. Saya tak makan tak apa janji anak-anak baik.
“Bangun pagi saya hanya minum kopi saja hingga jam 3 atau 4 petang sebelum makan sedikit nasi dan sambung kupas jagung,” katanya ditemui di rumah sewanya di Rumah Pangsa Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini.
Terdahulu keluarganya disantuni pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) yang menyalurkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.
PSBM diketuai Presidennya, Ashwad Abdul Rahim hadir bersama seorang usahawan dari Selangor, K Ganesan.
Disebabkan pendapatan tidak tetap, Maria terpaksa berpindah randah kerana tidak mampu membayar sewa dan flat itu adalah rumah ketiga didiami hasil bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selepas ditempatkan di rumah teres bersama tiga lelaki pekerja warga asing minggu lalu oleh majikannya.
Maria yang memeluk Islam pada 5 Februari 2016 berkata, di rumah sewa lama dia mengupas jagung dihantar majikan setiap hari sambil menjaga tiga anak termasuk dua anak lelaki, Robik serta Rofikbripon, masing-masing 6 tahun dan setahun.
“Namun, sejak tiga hari lalu saya tidak berkerja kerana majikan susah nak hantar jagung dalam guni sebab rumah berada di tingkat dua sedangkan saya memerlukan pekerjaan ini kerana tidak mampu meninggalkan anak-anak.
“Saya harap pihak majikan atau ada pihak lain dapat bantu kerana saya mampu dan sanggup bekerja demi menyara keluarga,” katanya.
Sementara itu Ashwad berkata, pihaknya memberi komitmen sebaik mungkin untuk membantu keluarga terbabit termasuklah memastikan anak sulungnya dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain seusianya. (Harian Metro Online)