Subang Jaya: Vokalis Search, Datuk Amy, 65, menyifatkan cara bermain dram dipersembahkan Naimi Daini, 17, yang kini menjadi pemain dram undangan berstatus tetap kumpulan itu ada sedikit persamaan dengan Allahyarham Yazit Ahmad.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ditemui berkata sebaik beliau melihat video Naimi bermain dram yang ditunjukkan pemain gitar Search, Hillary Ang kepadanya didapati gadis itu memang berbakat.
“Bila Hillary cakap dengan saya dan selepas tengok video dia (Naimi) main dram, terus saya cakap eh dia ni ada bakat tersendiri. Apatah lagi, saya dapati dia ada persamaan cara bermain macam arwah (Yazit) sedikit.
“Saya melihat bakat Naimi amat istimewa. Pada saya, ramai saja orang yang boleh main dram, tapi untuk dia ada ‘sesuatu’ menarik dalam teknik bermainnya yang bertenaga, penuh semangat dan ada jiwa seni itu.
“Dia pun ‘steady’ saja main tiga lagu ‘fast’ tanpa nampak penat dan pancit. Jadi, dari situ saya lihat memang ada sedikit sentuhan arwah Yazit pada Naimi. Walaupun berbeza, tapi dia ada ciri-ciri orang berdarah seni,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga bagaimana Hillary dapat maklumat mengenai bakat Naimi itu, Amy berkata ia dikongsikan oleh rakan pemuzik dan kebetulan juga bapanya kami kenal kerana pernah menguruskan Konsert Search Evolusi dulu.
Ditanya juga bagaimana Hillary dapat maklumat mengenai bakat Naimi itu, Amy berkata ia dikongsikan oleh rakan pemuzik dan kebetulan juga bapanya kami kenal kerana pernah menguruskan Konsert Search Evolusi dulu.
Amy berkata, Naimi juga awalnya diberikan beberapa lagu untuk dia berlatih sebelum datang ke ujibakat bersama Search. Katanya, tempoh masa selama seminggu diberikan untuk Naimi berlatih sama ada dia boleh main atau tidak.
“Saya pun ada temubual dia, tanya macam-macam dan dia memang ada benda (bakat) itu yang dianugerahkan Allah kepadanya walaupun dia seorang gadis dan masih muda.
“Dia bukan hanya drummer, tapi dia memang ada jiwa seni itu. Dia sangat muda, namun saya suka dengan cara dia main dram. Walaupun kita perlu beri dia masa yang lama lagi untuk selesa, tapi paling utama tiada tekanan dirasakan dengan membawa Naimi ke lokasi persembahan tertentu saja,” katanya.
Ujar Amy lagi, secara keseluruhan Naimi seorang yang sangat komited terhadap tanggungjawab. Katanya, pagi dia kena pergi sekolah, petang pula berlatih dengan Search dan lepas itu dah balik ke rumah buat ‘homework’ sekolah lagi.
Terdahulu, Naimi muncul buat julung kali beraksi bersama Search di Konsert Nusafest 2023 dekat Bandar Malaysia, pada malam Sabtu lalu menarik perhatian ramai.
Dia tampil bersama Search yang dianggotai Amy sebagai penyanyi, Nasir Daud (bass), Hillary (gitar) dan Man Kidal (gitar) dengan memainkan lapan lagu pada malam itu. (Sumber Harian metro Online)