IPOH: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana mencuri kopi segera dan pewangi badan di kedai serbaneka Sabtu lalu, masing-masing dihukum penjara lapan bulan dan denda RM2,500.
Majistret, Siti Nora Sharif menetapkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Shamsuddin Mohd Zakirin, 30, yang juga jurujual di pusat beli belah dan Muhammad Syahril Iman Razman Hayaddi, 22, pekerja hotel mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, dua lelaki itu didakwa secara bersama mencuri seunit Nescafe Arabica 100 gram (g); 1 unit Dashing Pocket EDT Cool Aqua; 1 unit Dashing Pocket EDT Style Legend; 1 unit Romano Pocket EDT Metro Pulse; dan 1 unit Romano Pocket EDT Force daripada kedai serbaneka di Lebuh Perajurit 3/1, Taman Ipoh Boulevard Timur, di sini, kira-kira jam 12.18 tengah malam Sabtu lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd Yusof.
Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara yang bermula daripada tarikh mereka ditahan pada Sabtu lalu, selain tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda RM2,500 yang dikenakan.
Sementara itu, Muhammad Shamsuddin turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan mencuri 1 unit Nescafe Arabica 100g daripada premis kedai yang sama yang dilakukannya pada jam 8.58 pagi 31 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan kedua itu Muhammad Shamsuddin dihukum penjara lapan bulan bermula tarikh sabitan iaitu hari ini dan denda RM2,500, selain mahkamah juga menetapkan tambahan penjara tiga bulan sekiranya denda tidak dibayar.
Nur Aqilah memohon supaya kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tanpa mengambil kira jumlah nilai barangan yang dicuri mereka, selain memohon hukuman penjara Muhammad Shamsuddin dijalankan secara berasingan bagi dua sabitan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Ketika ditanya Majistret barangan yang dicuri adalah bagi tujuan apa, Muhammad Shamsuddin berkata ianya untuk dijual semula kepada pihak lain. (Sumber Berita Harian Online)