KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa lebih berterus terang berkaitan Bajet 2025 kerana kalangan rakyat marhain kini tertanya-tanya mengenai masa depan mereka terutama berkaitan kos sara hidup serta isu pengangguran.
Isu kos sara hidup dan pengangguran masih gagal diselesaikan oleh kerajaan madani apabila beberapa langkah diambil termasuk menarik beberapa subsidi seperti diesel dan sebagainya.
Setiausaha Penerangan Bersatu Negeri Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, Bajet 2025 sepatutnya memberi penekanan kepada penyelesaian beberapa masalah rakyat bawahan terutama kos sara hidup dan pengangguran.
Jelasnya, tindakan menarik balik beberapa subsidi atas alasan dapat menjimatkan wang negara memang adakalanya betul, namun adakah ia dapat menyelesaikan kos sara hidup dan pengangguran rakyat.
“Jika hidup rakyat semakin sukar, adakah Bajet 2025 benar-benar membela nasib rakyat
“Sepatutnya tindakan menarik balik subsidi perlu kena pada keadaan dan tempatnya.
“Jika langkah kerajaan ini menyebabkan meningkatnya kos sara hidup dan pengangguran, maka apa penyelesaian ke atas dua isu ini?
“Harga barangan semakin meningkat. Kerajaan jangan melihat kedudukan mereka yang berpendapatan lumayan atau berjawatan tinggi kerana isu kos sara hidup dan pengangguran tidak begitu memberi kesan besar kepada golongan ini.
“Sebaliknya, kena lihat kedudukan nasib orang-orang yang berpendapatan harian, yang berjawatan kontrak, bergaji kecil tapi tinggal di bandar dan banyak lagi,” katanya.
Zulkifli seterusnya mencadangkan agar, wakil-wakil kerajaan dari kalangan kakitangan awam dan menteri hendaklah turunj ke setiap negeri untuk bersemuka dengan rakyat bagi membolehkan pelbagai pertanyaan diajukan.
Menurutnya, langkah berdialog dan soal jawab dengan rakyat akan membolehkan penerangan jelas mengenai kos sara hidup dan pengangguran serta masa depan rakyat.
“Janganlah takut untuk bersemuka dengan rakyat kerana saya yakin banyak persoalan yang hendak diajukan.
“Rakyat tidak mahu pertanyaan mereka hanya disalurkan melalui e-emel sebaliknya lebih berkesan jika bersemuka.
“Tunjukkanlah sikap prihatin mengenai permasalahan rakyat dengan bertemu rakyat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu,” katanya.
Zulkifli mengingatkan bahawa bukan semua rakyat terutama yang tinggal di luar bandar mahir menggunakan internet bagi menyalurkan keluhan mereka melalu e-mel dan sebagainya.
“Saya berpendapat tidak rugi pun jika bertemu dan berdialog dengan rakyat. Sebaliknya langkah itu dapat mencari jalan penyelesaian terhadap banyak perkara termasuk mengenai penetapan gaji minimum dan sebagainya,” katanya.