Jika dulu hidup tanpa pekerjaan tetap, kini seorang mualaf  menjadi pemandu ambulans

PERMATANG PAUH – Bagi seorang lelaki yang pernah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak sebelum bercerai, kehidupannya satu ketika dahulu umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam kehidupannya, dia kerap terpaksa bertukar pekerjaan menyababkan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Akibat laluan hidupnya itu, Ang Peng Hooi, 46,  sering terfikir apakah hala tuju hidupnya hingga menyebabkan rumah tangganya sering bergolak.

Ang Peng Hooi

Dalam mencari ketenangan hidup, dia akhirnya mengambil keputusan untuk bersyahadah dan memeluk Islam secara sukarela.

Nasib menyebelahi Peng Hooi apabila selepas beberapa hari memeluk Islam, dia ditawarkan pekerjaan sebagai pemandu ambulans di Hospital Dewan Bersalin Muslimah (DBM) di sini.

“Saya bersyahadah pada Mac tahun ini. Kini sudah tujuh bulan saya bertugas sebagai pemandu ambulans.

“Pada mulanya,  laluan hidup saya penuh keperitan dan terpaksa bercerai lima tahun lalu.

“Setelah bercerai, banyak pengalaman pahit dilalui dan kerap kali saya juga tidak mempunyai pekerjaan.

“Tapi kini saya sudah ada tanggungjawab besar sebagai pemandu ambulans dan membawa orang sakit.

“Baru  saya sedar bahawa betapa pentingnya membantu dan menyelamatkan nyawa mereka yang sedang sakit,” katanya.

Menceritakan pengalamannya memeluk Islam, Peng Hooi berkata, sebaik sahaja mengucapkan dua kalimah syahadah, jiwanya menjadi tenang dan tenteram.

“Ketika itu terlintas dalam hati ini bahawa Allah SWT akan membantu hambaNya yang dalam kesusahan.

“Saya bersyukur apabila mendapat pekerjaan sebagai pemandu ambulans.

“Sejak itu saya merasakan begitu penting untuk membantu dan menyelamatkan orang-orang yang dalam kesusahan dan memerlukan rawatan segera,” katanya.

Peng Hooi memeluk Islam yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.

Menurutnya, walaupun telah berpisah, namun dia sentiasa bertemu dengan empat orang anaknya termasuk pasangan kembar.

Peng Hooi berkata, dia juga kerap mengunjungi ibunya yang berusia 70-an dengan membelikan barangan keperluan harian.

“Dia tetap ibu saya dan Islam menganjar saya agar sentiasa menghormati dan menjaga hati ibu,’’ katanya.

Mengenai tugasnya sebagai pemandu ambulans, Peng Hooi berkata, ketika membawa orang sakit dengan siren dipasangkan, sikap bertimbang rasa terhadap pemandu lain juga perlu ada.

“Terutama ketika jalan sesak, semua pemandu lain akan sedaya upaya memberi laluan kepada ambulans. Ketika itu saya juga perlu berhati-hati kerana keselamatan pesakit juga perlu diutamakan,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles