PERMATANG PAUH – Satu ketika dulu, kehidupannya sering menjadi tumpuan ramai bukan sahaja kerana memiliki rupa yang menarik, malah suaranya juga mendapat pujian ramai setiap kali mendendangkan lagu.
Disebabkan itu, ketika berusia belasan tahun lagi, dia sudah dilamar oleh suami pertamanya.
Namun, perkahwinannya tidak bertahan lama dan dia berkahwin pula untuk kali kedua.
Kini setelah mencecah usia 51 tahun, Tan Mei Paik mengambil keputusan ‘berhijrah’ secara sukarela dengan mengucapkan dua kalimah syahadah untuk peluk Islam.
“Saya pernah menjadi penyanyi di restoran sejak sekian lama dan berkahwin pada usia 18 tahun. Saya pernah bekerja di kedai minuman keras dan mengambil upah menjahit.
“Selain itu, saya juga pernah berkahwin kali kedua. Dari dua perkahwinan itu, saya mempunyai dua anak lelaki yang berusia 30 dan 21 tahun.
“Akhir-akhir ini saya terfikir sampai bila kehidupan saya akan berterusan seperti ini. Kini saya tidak mempunyai sesiapa lagi. Emak dan bapa pun sudah sekian lama meninggal dunia.
![](https://kosmopolitan.my/wp-content/uploads/2025/02/DSC_0338-1024x680.jpg)
“Baru-baru ini setelah bertemu seorang kawan mualaf, saya tertarik untuk bersyahadah dan peluk Islam apabila mendapati kehidupan kawan tadi begitu tenang,” katanya memulakan perbualan.
Mei Paik yang tinggal di Bukit Mertajam mengucapkan syahadah dipimpin oleh ahli Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang juga merupakan seorang guru, Che Siti Nuraisyah Che Suhaimi.
Program bersyahadah di Masjid Permatang Janggus dekat sini itu turut disaksikan oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim dan beberapa jemaah selepas selesai solat Jumaat.
Sebelum bersyahadah, Che Siti Nuraisyah turut menerangkan kepada Mei Paik mengenai agama Islam termasuk Rukun Islam dan Rukun Iman dalam bahasa Mandarin.
Mei Paik berkata, dia berdoa agar pengakhiran hidupnya akan lebih baik dan terjamin kerana dunia glamor sebelum ini tidak akan bertahan untuk selama-lamanya.
“Saya yakin Islam akan menjaga saya hingga akhir hayat,” katanya.
Di samping itu, Mei Paik juga gembira apabila mempunyai ramai rakan-rakan dari kalangan orang Islam yang sanggup membimbing dirinya agar lebih memahami agama Islam.
“Saya juga teringin untuk menjalani ibadah puasa Ramadan pada bulan depan,” katanya.
Menjawab pertanyaan, Mei Paik berkata, banyak pengalaman dilalui ketika berumah tangga dan menjadi penyanyi di restoran.
![](https://kosmopolitan.my/wp-content/uploads/2025/02/foto-subuh-1-1024x473.jpg)
“Semua pengalaman itu mengajar saya erti kehidupan sebenar. Masa kita muda semua itu memang indah dengan ramai kawan-kawan di sekeliling tetapi apabila sudah meningkat usia baru kita sedar bahawa ia hanya kehidupan glamor sementara,” katanya.