GEORGE TOWN – Tiga lelaki dan dua wanita mengambil keputusan untuk bersyahadah dalam program Dakwah Jalanan anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).
Bagi mereka, keputusan bersyahadah itu diambil setelah melalui pelbagai liku-liku kehidupan terutama apabila usia kian menjangkau lanjut menjadikan mereka banyak menghabiskan masa bersendirian tanpa teman.
Menjadi harapan kesemua saudara baharu itu setelah memeluk Islam, mereka mempunyai lebih ramai rakan di sekeliling kerana agama Islam itu memupuk tali persaudaraan dan kekeluargaan.
Lima saudara baharu itu ialah Ling Ooi Aing, 48; Fang Jun Ming, 64; Phang Peow Chyn, 44; Ang Sang Hup, 62 dan Low Lai Kay, 67 tahun.
Mereka bersyahadah yang dipimpin oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim dan bekas Pengarang Berita Utusan yang juga Setiausaha Media IKUT, Amir Sarifudin Mansor.

Bagi Ooi Aing, dia sejak sekian lama ingin bersyahadah ketika bertugas beberapa tahun sebagai pemandu ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Pulau Pinang.
Menurutnya, antara pengalaman dilalui ketika membantu orang kemalangan ialah kebanyakan mangsa tidak putus-putus mengucapkan nama ‘Allah’ walaupun dalam keadaan parah.

“Saya dapati kebanyakan mangsa kemalangan yang parah sentiasa mengucapkan nama Allah dibibir mereka.
“Ini membuatkan saya tertanya-tanya bahawa mereka ini sentiasa mengingati tuhan dan mengharapkan pertolongan daripada Allah,” katanya yang kini bekerja sebagai pemandu lori.
Bagi Jun Ming yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU), kehidupan dilalui ketika berumah tangga banyak mengajarnya mengenai kehidupah.
“Banyak pengalaman lalu yang ditempuhi saya jadikan pengajaran.
“Walaupun telah berpisah, namun saya kini lebih tenang apabila mengenali Islam. Maka hari ini saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.
Sementara itu, Peow Chyn pula berkata, suatu ketika dulu dia memang mempunyai ramai rakan.

“Tapi apabila sudah sakit dan kini terpaksa pula berkerusi roda, seolah-olah kawan pula mula menjauhkan diri.
“Tapi saya dapati Islam itu macam satu keluarga dan sentiasa membantu antara satu sama lain. Saya yakin rakan-rakan mualaf akan menjaga saya hingga akhir hayat,” katanya.
Dalam pada itu, Sang Hup yang bekerja sebagai tukang cat memberitahu, hati dan jiwanya benar-benar terasa tenang sebaik sahaja melafazkan syahadah.
“Sejak sekian lama saya ingin peluk Islam kerana saya kerap mendengar laungan azan.
“Akhirnya saya faham apa erti azan itu. Ia panggil syiar Islam. Setiap kali azan, jiwa saya pun tenang,” katanya.
Bagi Lai Kay, sejak kematiannya ibunya lebih 10 tahun lalu, kehidupannya terasa amat sunyi walaupun dia mempunyai beberapa orang adik-beradik.
“Sejak ibu meninggal, saya hidup bersendirian. Rutin hidup saya kerap bertemu segelintir kawan yang memberi nasihat mengenai kehidupan.

“Kini hati saya lebih tenang setelah memeluk Islam,” katanya.