GEORGE TOWN – Banyak boleh dilakukan terhadap kandungan Akta OKU 2008 dalam memberi pembelaan sewajarnya terhadap komuniti terbabit bagi memastikan orang kurang upaya terus mendapat hak kesamarataan dalam keperluan kehidupan harian mereka.
Sehubungan itu, pihak berwajib digesa melihat perkara ini dengan lebih serius memandangkan jumlah orang pekak dan OKU lain sentiasa meningkat dari semasa ke semasa selain keperluan serta cabaran yang dihadapi komuniti terbabit juga kian meluas.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) Mohamad Sazali Shaari berkata, walaupun akta berkenaan telah lama wujud, namun adalah dikhuatiri pembelaan terhadap orang pekak dan lain-lain OKU belum mencapai tahap sama seperti yang diperolehi masyarakat umum lain.
Beliau berkata, antara langkah yang perlu diberi perhatian melibatkan akta itu ialah mewujudkan jawatan-jawatan jurubahasa isyarat dalam semua agensi kerajaan.
Jelasnya, langkah ini penting kerana jawatan jurubahasa isyarat antara lain berperanan sebagai jabatan penghubung antara orang pekak dengan kerajaan dan juga masyarakat umum.
“Wujudkan secara wajib, sah dan rasmi jawatan jurubahasa isyarat di agensi-agensi dan kementerian.
“Ini kerana, setiap orang pekak yang kian meningkat jumlahnya sentiasa mempunyai urusan dalam kehidupan harian mereka berkaitan dengan setiap agensi sedia ada.
“Jawatan jurubahasa isyarat ini perlu ada sama ada ia melibatkan agensi kesihatan, farmasi, pihak penguat kuasa dan banyak lagi.
“ Jika setiap agensi mempunyai jurubahasa isyarat rasmi yang diperuntukkan dalam perjawatan, diyakini mesej serta kehendak di samping keperluan orang pekak dapat disampaikan dan juga difahami secara tepat. Inilah satu pembelaan yang dikehendaki oleh komuniti pekak,” katanya.
Mohamad Sazali berkata demikian ketika menjawab pertanyaan para peserta pada Seminar Kebangsaan Jurubahasa Isyarat dan Jemputan ASEAN 2025 di sini.
Beliau menambah, terdapat banyak kes yang melibatkan orang pekak ketika berurusan dengan agensi tertentu tetapi perkara tersebut terpaksa dibantu oleh jurubahasa isyarat yang mengambil inisiatif secara sukarela atau secara peribadi.
“JIka ada jurubahasa isyarat secara rasmi mengikut perjawatan yang disediakan oleh agensi terbabit, perkara ini pasti dapati diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, antara kandungan Akta OKU 2008 ialah pihak berwajib perlu mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Di samping itu, pada masa ini akta berkenaan tidak mewajibkan mana-mana orang pekak untuk berdaftar dengan agensi terbabit seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ekoran itu, jumlah sebenar orang pekak di negara ini diyakini melebihi daripada jumlah yang berdaftar secara rasmi dengan JKM.
Menurut Mohamad Sazali, daripada jumlah rakyat Malaysia sebanyak lebih 33 juta orang, komuniti pekak yang berdaftar dengan JKM sehingga Mac tahun ini dicatatkan melebihi 47,965 orang.
Namun katanya, jumlah sebenar orang pekak dipercayai melebihi angka tersebut kerana diyakini masih ramai yang tidak mendaftar kerana ia sesuatu yang tidak diwajibkan.
“Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan agar apa juga keperluan dapat disampaikan kepada komuniti pekak dan akta sedia ada perlu diperincikan lagi,” katanya.