GEORGE TOWN – Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) berjanji akan meneruskan usaha untuk memartabatkan peranan, kedudukan serta jawatan Jurubahasa Isyarat di negara ini.
Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari berkata, adalah penting tugas serta jawatan jurubahasa isyarat diberikan pengiktirafan sepenuhnya oleh kerajaan.
Sehubungan itu kata beliau, MFD akan meneruskan usaha melobi supaya kerajaan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada jurubahasa isyarat.
“Peranan jurubahasa isyarat juga kini semakin meluaskan tanpa batas. Mereka ini bertugas secara profesional bagi menjadi penghubung antara komuniti orang pekak dengan kerajaan dan juga masyarakat umum.
“Oleh itu, peranan mereka ini sangat penting sama ada di mahkamah, hospital, balai polis dan agensi-agensi lain.
“Begitu juga peranan jurubahasa isyarat yang perlu ada di pusat-pusat panggilan kecemasan atau pusat panggilan bantuan lain apabila melibatkan keperluan orang pekak untuk berinteraksi dalam sesuatu keadaan iaitu melalui panggil video sebagai contoh dan sebagainya,” katanya mengulas langkah MFD seterusnya setelah berakhirnya Seminar Kebangsaan Jurubahasa Isyarat dan Jemputan ASEAN 2025 di sini.

Seminar tiga hari itu anjuran Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) dan dihadiri perwakilan serta penceramah dari ASEAN termasuk Brunei, Thailand dan Filipina selain United Kingdom dan New Zealand.
Turut hadir, Presiden MyASLI, Wan Zuraidah Abu.
Difahamkan pada masa ini terdapat kira-kira 60 jurubahasa isyarat yang aktif di seluruh negara termasuk mereka yang berkhidmat secara bebas, separuh masa, sukarela dan juga dari kalangan guru-guru.
Daripada jumlah rakyat Malaysia yang melebihi 34 juta orang pada masa ini, dianggarkan komuniti pekak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Mac tahun ini dicatatkan melebihi 47,965 orang.
Dengan jumlah jurubahasa isyarat sedia ada berbanding jumlah orang pekak, keadaan itu dianggap tidak seimbang, malah banyak keadaan apabila peranan jurubahasa isyarat diperlukan di agensi-agensi kerajaan termasuk mahkamah, balai polis, hospital dan sebagainya.