KUALA LUMPUR – Selama 16 tahun dia menyumbang khidmat dan bakti sebagai pereka grafik kreatif dengan menghasilkan pelbagai idea serta reka bentuk di Balai Seni Negara.
Jika pertama kali bersua dengannya, pasti ramai tidak menyangka bahawa dia telah menghasilkan ratusan reka bentuk sama ada melibatkan poster, buku program, banner dan banyak lagi.
Reka bentuk poster sahaja dihasilkan dengan idea antara 300 hingga 500, begitu juga dengan buku program lebih 300 reka bentuk manakala reka bentuk banner juga dihasilkan ratusan.
Khidmat reka bentuk grafik itu turut melibatkan kerjasama dengan beberapa kementerian yang ada hubungan kait serta program bersama dengan Balai Seni Negara.
Namun jangan terkejut apabila seseorang berkesempatan berinteraksi dengannya, dia sebenarnya seorang warga pekak.
Nuzaihan Mustapa, 44, seorang warga pekak sejak dilahirkan dan telah berumah tangga serta merupakan anak tunggal dalam keluarga.
Menurut Nuzaihan, minat melukis dan reka grafik kreatif telah berada dalam jiwanya sejak dibangku sekolah lagi.
Jelasnya, disebabkan itu dia sanggup belajar dalam bidang berkenaan di Universiti LimKokwing selama lima tahun untuk mendapatkan diploma.
“Mungkin jiwa seni yang ada dalam diri ini adalah hasil dari arwah bapa yang juga memiliki jiwa seni,” katanya memulakan perbicaraan menggunakan bahasa isyarat.
Mengenai tugasnya di Balai Seni Negara, Nuzaihan memberitahu, dia telah bekerja di situ sejak 16 tahun lalu dan tetap setia hingga ke hari ini.
“Inilah tempat saya mencari rezeki.
“Di sinilah juga saya mempunyai ramai kawan yang sentiasa memahami saya sebagai individu pekak,” katanya yang juga mempunyai isteri dari kalangan orang pekak.
Setelah 16 tahun bekerja, Nuzaihan akhirnya mendapat pengiktirafan apabila diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Pusat Antarabangsa Konvenseyen Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Menjawab pertanyaan, Nuzaihan memberitahu, setiap reka grafik kreatif yang dihasilkan perlulah dihasilkan dengan idea sendiri tanpa meniru reka bentuk orang lain.
Untuk itu, katanya, apabila sesuatu tugasan itu diberikan, dia akan cuba menyiapkannya dalam masa singkat dan bekerja dalam situasi tenang supaya idea dihasilkan kelak adalah yang terbaik.
Mengenai jawatannya, Nuzaihan berharap akan tetap bersama Balai Seni Negara.