PUCHONG – Sebut sahaja nama Taska Istika Jaya di Menara KLH, Bandar Puchong Jaya dekat sini, ia berbeza sama sekali dari pusat asuhan, mahupun taska atau tadika yang terdapat di seluruh negara.
Perbezaan yang ada pada Taska Istika Jaya, menjadikan ia sebagai sebuah pusat asuhan yang unik serta menarik.
Keunikan yang ada pada taska ini, bukan sahaja pada kanak-kanak di situ, malah tenaga pengajarnya juga memiliki keistimewaan tersendiri.
Dikatakan unik dan istimewa kerana kanak-kanak di taska, selain operasi tadikanya, ialah mereka adalah dari kalangan warga pekak.
Pada masa sama, tenaga pengajarnya juga adalah guru-guru pekak. Itulah keunikan dan keistimewaan Taska Istika Jaya.
Manakala kurikulum serta aktiviti yang diterapkan oleh Taska Istika Jaya adalah sama dengan pusat-pusat asuhan yang diiktiraf kerajaan iaitu mengikut Permata dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kurikulum diterapkan termasuk perkembangan awal matematik dan pemikiran logik; perkembangan kreativiti dan estetika, perkembangan deria dan perubahan dunia persekitaran; perkembangan fizikal; perkembangan sahsiah, sosio-emosi dan kerohanian; dan perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi.
Taska Istika Jaya ini adalah di bawah seliaan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
Penyelia Taska Istika Jaya, Low Li Lan yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Helen memberitahu, kewujudan taska ini bermula pada 2014 dan setahun kemudian ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun.
Bermula dengan lapan pelajar taska dan lima pelajar tadika, pusat asuhan ini kemudian berkembang pesat apabila semakin ramai golongan orang pekak mengetahui kewujudannya.
Menurut Helen, jumlah penghuni taska dan tadika kini bertambah berlipat kali ganda hingga menyebabkan pihak pengurusan menempatkan lapan orang tenaga pengajar.
Tujuh daripada tenaga pengajar itu adalah orang pekak manakala seorang lagi menjadi pengantara sebagai jurubahasa isyarat.
Helen menambah, dengan berkembangnya Taska Istika Jaya ini, ramai kalangan bekas penghuninya menjadikan pusat ini sebagai tempat transit selepas waktu persekolahan sekolah rendah dan menengah.
“Pulang dari sekolah mereka terus transit di pusat ini sebelum diambil oleh ibu bapa pada sebelah petang,” katanya.
Menurutnya, silibus yang diterapkan di Taska Istika Jaya adalah mengikut silibus Permata manakala di tadika pula berdasarkan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia.
Helen berkata, bagi memastikan setiap pelajar taska dan tadika mendapat ilmu serta pendidikan sama seperti pusat-pusat asuhan lain, pihak pengurusan memastikan setiap tenaga pengajarnya memiliki tauliah serta kelayakan mengikut standard yang ditetapkan kementerian terbabit.
“Setiap guru di pusat ini mempunyai tauliah serta kelayakan setelah menghadiri kursus ditetapkan,” katanya.
Menceritakan aktiviti dijalankan di Taska Istika Jaya, Helen memberitahu, selain pembelajaran di bilik kelas, setiap pelajar juga akan terbabit dengan aktiviti luaran seperti bersenam dan sebagainya.

Manakala aktiviti di kelas termasuk belajar bahasa Melayu dan Inggeris.
“Mereka juga ada aktiviti menanam pokok serta menyiram pokok.
“Mengasuh dan mendidik kanak-kanak pekak sama seperti kanak-kanak lain yang tidak pekak. Yang penting tenaga pengajar perlu boleh berinteraksi menggunakan bahasa isyarat,” jelasnya dengan menggunakan bahasa isyarat sambil diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat.