Lima peluk Islam dalam program ‘Dakwah Jalanan, Komtar Bersyahadah’

GEORGE TOWN –  Empat lelaki dan seorang wanita saudara baharu, mengucap syahadah dalam program ‘Dakwah Jalanan, Komtar Bersyahadah’  anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) di sini.

Mereka mengucap syahadah kerana yakin bahawa Islam akan menjaga kehidupan dan kebajikan mereka, selain bagi mendapatkan ketenangan jiwa.

Malah, kelima-lima saudara baharu itu menyatakan rasa tenteram sebaik sahaja mengucapkan dua kalimah syahadah dalam program yang diadakan  di sebuah restoran berhampiran Komtar di sini.

Program syahadah itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), IKUT yang aktif menyantuni golongan mualaf termasuk dalam menjaga kebajikan saudara-saudara baharu di Pulau Pinang.

Danny Khoo (kiri) mengucap syahadah yang dipimpin oleh seorang sukarelawan IKUT sambil disaksikan oleh Zolkifly Md. Lazim (berdiri, tengah) di George Town, Pulau Pinang.

Saudara-saudara baharu  itu ialah Cheong Cheng Seong, 54; Tan Ho Chooi, 66; Thin Kuan Ting, 59; Lee Khoo Chee, 76, dan Danny Khoo, 37 tahun.

Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim memberitahu, sebelum lima mualaf itu mengucap dua kalimah syahadah, pihaknya memberi penerangan bahawa tiada paksaan dalam memeluk Islam.

Katanya, penjelasan juga diberi bahawa setelah bergelar muslim atau muslimat, mereka juga diingatkan jangan sekali-kali terputus hubungan dengan ahli-ahli keluarga yang bukan Islam.

Menurutnya, saudara-saudara baharu itu kelak akan mengikuti kelas fardu ain dan kifayah kelolaan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang selain kelas agama anjuran IKUT menggunakan bahasa Hokkien.

Bagi Danny yang bekerja dengan kontraktor Pihak Berkuasa Air (PBA) Pulau Pinang, pengalaman pernah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak berusia 5 hingga 16 tahun suatu ketika dulu banyak mengajar mengenai erti kehidupan.

“Adakalanya kegembiraan itu hanya seketika apabila kita memiliki kemewahan.

“Namun semua itu hanya tinggal kenangan dan kemewahan tidak semestinya kekal selama-lamanya.

“Walaupun kini saya tinggal bersendirian, tapi saya tetap gembira apabila mendapati  kehidupan bekas isteri dan anak-anak terus terjaga. Malah, saya sentiasa  mendoakan kebahagian kehidupan baharu mereka,” katanya.

Tan Ho Chooi (kiri) yang sebelum ini berfikiran ‘bebas’ tanpa sebarang pegangan agama, mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh seorang sukarelawan IKUT, Johari Omar (kanan) di George Town, Pulau Pinang.

Sementara itu, Cheng Seong memberitahu, selama ini dia tercari-cari ketenangan dalam beragama.

Menurutnya, setelah mengetahui mengenai Islam, dia akhirnya memilih untuk mengucap dua kalimah syahadah.

“Selepas bersyahadah, saya rasa lebih tenang. Malah, hubungan saya dengan saudara mara yang lain tidak terputus walaupun berlainan agama,” katanya yang pernah bekerja sebagai penjual mi dan belum pernah berumah  tangga.

Bagi Ho Chooi, dia sebelum ini berfikiran ‘bebas’ tanpa terikat dengan mana-mana agama.

“Setelah mengenali Islam dan faham agama Islam sentiasa mengutamakan hubungan sesama manusia, akhirnya saya pilih bersyahadah.  Kini hati saya lebih tenang,” katanya.

Khoo Chee pula berkata, dia memilih Islam kerana mahu akhiran hidupnya lebih bermakna, tambahan umurnya yang semakin lanjut.

Bekas pengarang berita Utusan Malaysia, Amir Sarifudin Mansor (kanan) memimpin Cheong Cheng Seong (kiri) untuk bersyahadah dalam program Dakwah Jalanan, Komtar Bersyahadah di George Town, Pulau Pinang.

Penghidap barah payudara ini berkata, penyakit  yang dialaminya tidak menghalangnya untuk bersyahadah dan kini hatinya lebih tenang untuk meneruskan kehidupan.

Seorang lagi saudara baharu, Kuan Ting berkata, dia yakin bahawa Islam akan menjaga kehidupan dan kebajikan setiap penganutnya.

“Setelah yakin dan mendapat pemahaman yang tepat, akhirnya saya pilih untuk memeluk Islam supaya jiwa ini lebih tenang,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles