GEORGE TOWN – Penampilan yang menarik hingga mempesonakan apabila pertama kali mencuba pemakaian hijab.
Inilah yang dilalui serta diakui oleh kalangan wanita pelancong asing apabila mereka diperkenalkan dengan pemakaian hijab.
Malah, kalangan pelancong asing tersebut begitu terkejut dan teruja apabila mendapati pemakaian hijab itu melambangkan penampilan sebenar serta kecantikan seorang wanita.
Para pelancong itu mencuba pemakaian hijab dalam program anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) di Lebuh Acheh di sini.
Bagi Maria Dipet, 27, dari Sepanyol, dia terkejut apabila melihat penampilan dirinya setelah mencuba memakai hijab.
Menurutnya, pemakaian hijab itu secara langsung menambahkan keyakinan pada dirinya sebagai seorang wanita.
“Ini pertama kali saya mencuba pemakaian hijab. Saya tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian sebelum ini. Apabila diberi peluang hari ini, saya tidak teragak-agak mencubanya.
“Menarik dan sopan sekali apabila melihat wajah saya dicermin dengan pemakaian hijab,” katanya.
Di samping itu, kata Maria, pemakaian hijab itu tidak menimbulkan sebarang masalah sama ada dari segi pergerakan, penampilan dan lain-lain.
“Malah saya rasa begitu selesa dengan pemakaian hijab ini. Sekarang baru saya tahu,” katanya.
Selain Maria, beberapa wanita pelancong asing juga mencuba pemakaian hijab dalam program yang diadakan di luar pekarangan Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh di sini.
Antara mereka ialah pelancong dari New Zealand, Australia dan beberapa negera lain.
Pada program yang sama, dua lelaki secara sukarela bersyahadah yang dipimpin oleh sukarelawan IKUT.
Bagi Saw Ah Kok, 80, dia sudah lama memikirkan untuk memeluk Islam namun terlebih dahulu mahu benar-benar memahami mengenai Islam.

Menurut Ah Kok, kehidupan dan pekerjaannya satu ketika dahulu sebagai seorang mekanik jurutera pembinaan jambatan banyak memerlukannya merantau ke banyak tempat termasuk ke Brunei.
“Dari pengalaman bekerja di banyak tempat, memberi saya peluang bertemu pelbagai orang dengan berlainan latar belakang. Hari ini secara sukarela saya memeluk Islam.
“Dengan usia yang lanjut begini, saya harap dapat meneruskan hidup dengan mendalami agama Islam,”katanya yang telah sekian lama kematian isteri manakala anak-anaknya tinggal berjauhan.
Sementara itu, seorang lagi saudara baharu, Ong Lye Huat, 72, yang turut bersyahadah secara sukarela memberitahu, dia tinggal bersendirian dan tidak pernah berkahwin.
“Sepanjang kehidupan yang dilalui, ramai kawan-kawan saya dari pelbagai agama telah pergi selama-lamanya.
“Dengan usia yang kian lanjut, hari ini saya ambil keputusan memeluk Islam setelah memahami sebenar-benarnya apa itu Islam.
“Saya mahu habiskan sisa-sisa hidup saya ini sebagai seorang Islam,”katanya.
Sementara itu, Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim memberitahu, jika sebelum ini pihaknya mengadakan dakwah jalanan yang melibatkan saudara baharu bersyahadah, tetapi kali ini ia menggabungkan program mencuba pemakaian hijab.
“Secara tidak langsung, orang ramai dan pelancong yang datang ke program ini juga dapat mengenali sejarah Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh yang telah didirikan pada 1808,” katanya.

