Nostalgia liku-liku kehidupan, suka duka insan pekak bernama Mohamad Sazali

PUCHONG – Peluang menjejakkan kaki ke pejabat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di sini, banyak perkara ‘tersembunyi’ dapat ‘dibongkar’ jika seseorang itu mampu menyelami perasaan kakitangan di situ.

Jika ini dapat dilakukan, maka pasti seseorang itu dapat mengetahui bahawa kehidupan dan perasaan orang pekak juga sama seperti orang lain.

Sebaik sahaja memasuki pejabat MFD, di satu sudut bilik dapat dilihat individu bernama Mohamad Sazali Shaari yang merupakan Pengarah Eksekutif MFD.

Di sudut bilik itulah Mohamad Sazali kadangkala duduk bersendirian  jika tiada apa-apa tugasan selepas selesai menyampaikan ceramah mengenai komuniti orang pekak, mesyuarat, mengenai bahasa isyarat, urusan pejabat dan banyak lagi.

Masa-masa bersendirian itulah beliau kadangkala mengambil kesempatan menatap gambar-gambar lama sambil melemparkan pandangan jauh ke luar cermin tingkap.

Itulah masa bagi beliau mengenang kembali nostalgia sejak zaman kanak-kanak hinggalah masa kini.

Secara perlahan-lahan, penulis berkesempatan mendekati Mohamad Sazali sambil bersembang-sembang ringkas menggunakan bahasa isyarat.

“Saya rindu sekolah lama saya, Anglo Chinese School di Sitiawan, Perak. Saya teringat zaman waktu sekolah.

“Setiap kali hingga kini apabila ke Sitiawan, saya berkesempatan lalu di sekolah lama saya. Walaupun tidak masuk ke kawasan sekolah, namun saya dapat mengingati kenangan pahit manis di situ. Tapi semuanya sudah berubah.

“Ada kawan-kawan sekolah yang telah pergi buat selama-lamanya. Ada satu atau dua orang yang masih berhubungan dengan saya,” katanya memulakan perbualan  menggunakan bahasa isyarat.

Menceritakan lebih lanjut, Mohamad Sazali lahir pada 1958 di Sitiawan, Perak. Sejak kecil beliau tidak mengenali bapanya kerana orang tersayang itu telah lebih awal menemui Penciptanya.

Ibunya seorang bidan dan beliau mempunyai seorang kakak yang kini masih menjadi penghujung kepada mereka dua beradik.

Sejak kecil, Mohamad Sazali menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain boleh bertutur dan mendengar. Kegembiraan Mohamad Sazali jelas sekali apabila mempunyai ramai rakan-rakan sebaya di Kampung Batu 10 Lekir, Sitiawan, Perak

Lebih menyeronokkan setiap pagi beliau dan rakan-rakan sekampung akan berbasikal bermula pukul 6 pagi selama kirakira 45 minit dari rumah untuk ke sekolah.

Sepanjang perjalanan beliau dan rakan-rakan akan melalui kawasan kebun getah di mana hanya dapat melihat lampu-lampu kecil yang digunakan oleh para penoreh getah.

Ketika di bangku sekolah darjah satu, Mohamad Sazali mengalami demam panas menyebabkan pendengarannya  sedikit berkurangan.

Sehinggalah usianya mencecah 10 tahun apabila pendengarannya terus terjejas menjadikan dia pekak sepenuhnya.

Walaupun menjadi pekak, Mohamad Sazali terus bersekolah di Anglo Chinese School hinggalah ke sekolah menengah.

“Apabila saya pekak sepenuhnya, pada awalnya saya hendak berhenti sekolah dan mencari sekolah lain, namun terfikir juga ketika itu tiada sekolah khas untuk orang kurang upaya (OKU) termasuk pekak.

“Guru besar sekolah juga mahu saya terus bersekolah di situ. Guru besar itu memahami diri saya dan memberi galakan untuk saya terus belajar walaupun di sekolah itu saya seorang sahaja yang pekak,” katanya.

Mohamad Sazali menceritakan, atas sokongan ibu, kakak dan seorang  adik angkat lelakinya, serta rakan-rakan sekolah dan para guru, beliau terus belajar dan berjaya dalam peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE).

Dengan MCE itu beliau memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara).

“Saya hadir temuduga di Ipoh dan pilih bidang seni. Namun nasib tidak menyebelahi saya apabila pegawai penemuduga itu mendapat tahu saya ini pekak.

“Saya tidak salahkan dia, tapi faham apabila diberitahu ketika itu di ITM tidak ada kemudahan untuk orang-orang pekak hendak melanjutkan pelajaran. Tambahan pula saya pilih bidang seni.

“Memang saya sedih ketika itu. Seolah-olah dunia ini gelap bagi saya,” katanya mengimbas nostalgia masa silam.

Sejak digolongkan sebagai insan pekak, Mohamad Sazali tidak pernah berkesempatan melalui pendidikan secara formal dalam bahasa isyarat.

Sehinggalah berusia 21 tahun apabila beliau berkesempatan mengikuti bapa saudaranya ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan seterusnya berpeluang belajar bahasa isyarat secara formal.

“Di Kuala Lumpur saya berpeluang belajar bahasa isyarat secara formal. Cara yang betul.

“Selama ini saya berkomunikasi dengan ibu, kakak dan kawan-kawan atau guru dengan cara menulis.

“Kami bukan keluarga berada. Ibu, kakak dan adik angkat saya walaupun tidak tahu bahasa isyarat, namun merekalah yang sentiasa mengubat hati saya apbila melalui pelbagai ujian,” katanya.

Setelah belajar bahasa isyarat, Mohamad Sazali terus bertekat untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama orang pekak.

“Apa yang saya lalui, suka-duka, sukar mencari pekerjaan dan banyak lagi, semua ini saya jadikan inspirasi untuk membantu golongan yang senasib dengan saya,” katanya.

Akhirnya beliau terlibat dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk menjadi penggerak kepada NGO sukan untuk orang pekak.

Namun, Mohamad Sazali tidak mengejar jawatan dan usahanya diteruskan untuk membela orang pekak dengan penubuhan MFD yang kini menjadi wadah utama memperjuangkan nasib golongan pekak.

Dari  MFD, diwujudkan pula taska dan tadika untuk kanak-kanak pekak iaitu Istika Jaya.

Kewujudan MFD dengan gabungan Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) banyak membantu golongan pekak selain mendekatkan hubungan antara OKU pekak dengan masyarakat umum.

Mengakhiri perbualan ringkas dengan Mohamad Sazali, beliau berkata, nostalgia waktu kanak-kanak memang dirinduinya.

“Banyak kenangan ketika zaman kanak-kanak dan sekolah. Rumah tempat saya dibesarkan pun sudah lama ditinggalkan.

“Harapan saya mungkin satu hari nanti saya dapat berkunjung ke sekolah lama dengan kehadiran rakan-rakan sekelas,” katanya sambil melemparkan pandangan jauh ke luar  cermin tingkap mengenang nostalgia zaman lalu.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles