KOTA BHARU – Setiap kali menjejakkan kaki ke bengkel perabotnya di Kampung Tapang, Panji dekat sini, pasti banyak imbasan pahit manis bermain difikirannya.
Ada masanya dia akan menjejakkan kaki seorang diri lebih awal, sebelum ketibaan para pekerjanya.
Di bengkel perabot itulah nostalgia lalu pasti datang secara tiba-tiba kerana dalam sejarah hidupnya dia tidak pernah terfikir akan terbabit dalam usahawan perabot.
“Saya tidak pandai. Belajar pun sampai sekolah menengah sahaja.
“Masa bersekolah menengah di Pulau Pinang, saya kerap diejak kerana tidak pandai menggunakan bahasa isyarat.
“Saya akui hingga kini saya tidak pernah melalui pendidikan formal mengenai bahasa isyarat.
“Ejekan itu sentiasa tergiang-giang dalam ingatan ini. Tapi saya tidak marah. Dari situ saya kuatkan tekad untuk maju mencari rezeki kerana Allah sentiasa membantu hambaNya,” katanya memulakan perbualan menggunakan bahasa isyarat.
Razani Ramli, 60, merupakan insan pekak sejak di bangku sekolah rendah lagi dan merupakan anak ke-5 dari enam beradik.

Dari ahli-ahli keluarganya termasuk ibu dan ayahnya, Razani seorang sahaja yang pekak.
Menurutnya, dia belajar di Kota Bharu semasa sekolah rendah sebelum memasuki sekolah menengah di Pulau Pinang.
“Saya tidak pernah melalui pendidikan formal dalam bahasa isyarat. Disebabkan itu saya tidak pandai dan kerap diejek oleh rakan-rakan,” katanya.
Semasa remaja lagi, Razani adakalanya bekerja mencari rezeki termasuk mengeringkan daun tembakau, namun pekerjaan itu bermusim.
Dari tembakau, dia juga turut bekerja dalam pendawaian elektrik sebagai pekerja sambilan.
Namun, jiwanya sentiasa berminat dalam pembuatan perabot yang dipelajari dari perniagaan keluarga iaitu ibu bapanya.
Dia telah berhenti sekolah menengah lebih awal dan terus bekerja menghasilkan perabot membantu keluarganya.
Setelah mencecah usia 30 tahun, Razani meminta kebenaran ibu dan ayahnya untuk keluar dari kelompok keluarga bagi memulakan perniagaan dan pembuatan perabot secara bersendirian.
Hanya berbekalkan RM10,000 sebagai modal yang diperolehi termasuk dari meminjam, dia memulakan perniagaan perabot bersendirian.

Langkahnya itu bagi membuktikan bahawa insan pekak seperti dirinya boleh berdikari seperti orang lain.
“Memang banyak halangan perlu ditempuhi, namun….,” katanya sambil meminta biarlah setiap halangan itu menjadi rahsia peribadinya.
Memulakan perniagaan perabot di Jelawat pada 2002 sebelum dua tahun kemudian berpindah ke Panji dekat sini.
“Hendak mencari pekerja membantu usahawan perabot yang saya usahakan bukan mudah. Ada yang kerja sekejap kemudian berhenti.
“Saya pernah mempunyai pekerja seramai 10 orang tapi kini hanya ada dua pekerja sahaja,” katanya.
Memandangkan Razani adalah insan pekak dan menyedari kesusahan hidup orang pekak lain maka dia telah mengambil pekerja dari kalangan komuniti pekak.
“Orang pekak memang sukar mendapat pekerjaan. Dengan kekurangan yang ada, sudah pasti kebolehan kami juga sangat berkurangan,” katanya.
Kini dua pekerjanya, Rosli Yunus, 68, dan Mohd. Rozitul Azman Muhammad, 52, menjadi pembantu kepada Razani mengusahakan bengkel perabot berkenaan.
Ketika memulakan bengkel perabotnya, tidak terfikir pada Razani bahawa usaha itu menerima tamparan hebat apabila berlaku penularan Covid-19.
“Ketika itu, bengkel terpaksa ditutup dan saya hanya dapat meneruskan usaha dengan menyiapkan saki-baki tempahan sedia ada. Namun, rezeki tetap ada dan saya masih dapat bertahan kerana Allah Maha Adil,” katanya.
Sedang rancak menceritakan kehidupan serta usaha sebagai pengusaha perabot, tiba-tiba Razani berhenti seketika sambil merenung jauh seolah-olah sesuatu sedang menyentuh hatinya.
Secara perlahan-lahan, Razani berkata; “Dalam kehidupan ini kita kerap berjumpa dengan pelbagai manusia. Namun apa juga halangan janganlah kita marah atau berputus asa.”
“Saya kerap ditipu hingga ratusan ribu ringgit. Perabot sudah dihantar namun tiada bayaran. Walaupun ada bertemu orang-orang terbabit, namun seolah-olah orang itu buat tak tahu sahaja.
“Tapi saya tidak marah. Biarlah…..itu antara orang itu dengan Allah,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, dia akan berasa berpuas hati apabila dapat menyiapkan perabot yang ditempah.
“Bengkel perabot ini menyediakan pelbagai tempahan termasuk meja,kerusi, almari, kabinet dapur dan sebagainya
“Adakalanya saya sediakan meja dan kerusi untuk pihak sekolah.
“Saya berasa puas hati dan boleh tersenyum apabila terbayangkan kanak-kanak sekolah dapat belajar dengan selesa menggunakan meja dan kerusi dari perabot yang disiapkan ini,” katanya tersenyum.
Kini bagi memperluaskan usahanya itu dari Bengkel Raza Furniture & Alumglass, dengan kerjasama rakan-rakan, perabot yang diusahakannya itu bakal dipamerkan di ruang pameran di Jalan Hilir Pasar, Kota Bharu.
“Insya Allah dalam masa dua minggu lagi ruang pameran itu akan siap. Dua pekerja saya yang telah bersama lebih 10 tahun, turut membantu menyiapkan ruang pameran berkenaan,” katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK).
