GEORGE TOWN – Empat saudara baharu bersyahadah dan secara langsung bertekad untuk belajar menjalani ibadah puasa Ramadan yang akan menjelang tiba.
Sebaik sahaja mengucap dua kalimah syahadah, empat saudara baharu itu bersama 80 mualaf lain mengambil peluang mengerjakan solat asar berjemaah di Masjid Jamek Hj. Wahab, Simpang Enam di sini.
Dalam program yang sama, kesemua mualaf itu kemudian diberikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Mereka yang bersyahadah itu ialah Ong Khong Wah,71; Ng Tiuan Kiang, 34; Low Chin Yu, 37 dan Cheah Sze Min, 31.
Program bersyahadah itu dikelolakan Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang diketuai penaungnya, Zolkifly Md. Lazim dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Jamek Hj. Wahab Simpang Enam.
Bagi Khong Wah yang sebelum ini bekerja di kedai percetakan, laungan azan yang kerap didengari menimbulkan pertanyaan mengenainya.
“Saya suka dengar azan. Saya dapat tahu azan itu memanggil kita untuk mengingati Allah selain bersembahyang,” katanya ringkas dan mengakui mempunyai rakan kawan-kawan beragama Islam yang sering membantunya mengenai soal agama.
Tiuan Kiang pula berkata, setiap kali melihat orang bersolat di masjid, dia sering tertanya-tanya mengenai agama Islam.
“Kini saya pilih Islam sebagai cara hidup setelah mendapat jawapan-jawapan yang dicari” katanya
Bagi Chin Yu, dia bersyahadah tanpa sebarang paksaan dan mahu belajar mengenai Islam.
“Saya ikhlas bersyahadah tanpa paksaan,” katanya.
Sze Min pula berkata, dia mempunyai ramai rakan dari kalangan Islam yang kerap membantunya dalam pelbagai situasi.
“Saya begitu senang apabila bersama mereka dan oleh itu saya pilih untuk bersyahadah,” katanya.
Pada program sama, kalangan mualaf itu turut mendengar ceramah ringkas selain berkesempatan bertanyakan sebarang kemusykilan.

