KUANTAN – Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS (MIASK) di sini, yang sinonim dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, mencatat sejarah apabila julung-julung kali menyantuni 40 orang pekak yang datang dari sekitar Pahang.
Dalam program menyemarakkan Ramadan itu, komuniti pekak yang hadir lebih teruja apabila pengurusan MIASK menyelitkan ceramah agama dan diterjemahkan melalui bahasa isyarat.
Ceramah yang diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat itu bagi membolehkan setiap orang pekak yang hadir benar-benar memahami isi kandungan ceramah.

Program anjuran MIASK itu dihadiri oleh komuniti pekak dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Pahang (PADA).
Turut hadir pada program menyantuni komuniti pekak itu ialah Pengerusi MIASK, Izudin Muhamad Amin; Imam 1 MIASK, Izalludin Mat Nor dan Presiden MFD merangkap Presiden PADA, Mohd. Norhisham Aluwi.
Izudin ketika berucap menyatakan MIASK sedia mengadakan kerjasama dan aktiviti yang lebih luas bukan sahaja kepada orang pekak, malah komuniti dari lain-lain kategori serta masyarakat umum.
“Menyantuni masyarakat termasuk komuniti pekak menjadi antara komponen penting aktiviti MIASK.
“Malah, MIASK juga mengadakan serta mengalu-alukan pembabitan kariah dari luar KotaSAS dan dari semasa ke semasa memang ada program melibatkan kariah setempat dan kariah luar,” katanya.

Di samping itu kata Izudin, ketika setiap komuniti bergembira termasuk menjelangnya 1 Syawal, jangan sekali-kali lupa bahawa ada orang lain yang dalam kesedihan serta kesusahan, maka menjadi kewajipan setiap umat Islam membantu mereka.
Pada program berkenaan, MFD dan PADA turut membuka ‘booth’ jualan bagi memperkenalkan produk yang dihasilkan termasuk buku Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), baju dan barangan lain.
Sementara itu, imam MIASK, Izalludin dalam ceramahnya menyentuh mengenai pentingnya Ramadan yang merupakan penghulu segala bulan.
“Gunakan kesempatan sepanjang Ramadan ini untuk beramal,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Norhisham ketika ditemui memberitahu, beliau berpuas hati dengan aktiviti MIASK menyantuni orang pekak.
Beliau berharap aktiviti sedemikian dapat diteruskan terutama melibatkan pengetahuan agama kerana kalangan orang pekak memang dahagakan ilmu agama.

