KUANTAN – Lebih 1,000 bungkus bubur lambuk disediakan untuk kariah Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS di sini, berbuka puasa.
Penyediaan bubur lambuk itu melibatkan gotong-royong dari 50 petugas sukarelawan bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Sebelum tiba waktu berbuka puasa, kesemua bungkusan bubur lambuk itu habis diambil oleh para kariah.

Pengerusi MIASK, Izudin Muhamad Amin ketika ditemui memberitahu, jumlah penyediaan bubur lambuk itu dijangka bertambah berikutan penduduk yang tinggal dan bekerja di luar Pahang akan pulang untuk menyambut hari raya di KotaSAS.
Menurutnya, pihak MIASK akan menambah jumlah bungkusan bubur lambuk itu dari semasa ke semasa.
Menjawab pertanyaan, Izudin memberitahu, antara bahan yang digunakan untuk memasak bubur lambuk termasuk daging lembu, ikan selayang, udang kering dan beberapa jenis rempah ratus.

“Sehingga kini, maklum balas dari kariah, mereka amat berpuas hati bubur lambuk yang disediakan pihak MIASK,” katanya.
