PUCHONG – Berbuka puasa dengan nasi kandar ala Penang, itulah yang dilalui oleh 25 kakitangan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) apabila diraikan di Restoran Nasi Kandar A&Z Bistro, Bandar Puteri di sini.
Selain nasi kandar, kakitangan MFD turut dijamu dengan beberapa jenis kuih-muih sebagai juadah pembuka selesa.
Mereka diraikan oleh Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia (PPDM), Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz, sebagai menghargai peranan komuniti pekak dalam pembangunan negara.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari.
Pada majlis sama, PPDM turut memberi sumbangan beras dan biskut raya kepada kakitangan MFD berkenaan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, PPDM tidak pernah melupakan peranan serta kehadiran komuniti pekak dalam masyarakat umum.
“Golongan pekak adalah sebahagian daripada masyarakat umum. Walaupun mereka ada kekurangan, namun sumbangan mereka kepada pembangunan negara sama penting seperti masyarakat umum.
“Sehubungan itu, setiap aktiviti sosial dan komuniti anjuran PPDM akan sentiasa melibatkan orang pekak,” katanya.
