PUCHONG – Meneruskan tradisi memasak dan menyediakan bubur lambuk ‘muhibah’menjadi antara kewajipan bagi Persatuan Pembangunan Masyarakat dan Alam Selangor (HANDS) sejak 1995.
Digelar ‘Bubur Lambuk Muhibah’ kerana ia boleh dimakan oleh semua kaum kerana ramuan dan bahan yang disediakan adalah bersesuaian.
Jika sebelum ini mereka yang secara sukarela menyediakan bubur lambuk itu terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta, tapi kali ia melibatkan penyertaan orang pekak dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Bermula 9 pagi dan berakhir pukul 12.30 tengah hari, penyediaan bubur lambuk itu diadakan di pekarangan Klinik Kesihatan Puchong Batu 14 di sini.
Presiden HANDS, Datuk Dr. Kannan Raman berkata, antara bahan yang digunakan untuk memasak bubur lambuk muhibah itu ialah ayam, lobak, bawang dan beberapa bahan lain.
“Kita menggunakan lebih 30 kilogram beras dan dimasak dalam dua periuk besar,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, program memasak bubur lambuk muhibah itu sempena Ramadan dan Hari TB Sedunia serta mendapat kerjasama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kerajaan serta Klinik Kesihatan Puchong Batuk 14.
Menurutnya, bubur lambuk itu diedarkan kepada anggota polis, bomba, orang kurang upaya (OKU), penduduk setempat, pelanggan di Klinik Kesihatan Puchong Batu 13 dan juga kakitangan kesihatan.
“Pihak kami berbangga apabila jumlah edaran bubur lambuk muhibah kali ini lebih banyak,” katanya,
Dalam program yang sama, HANDS turut menyampaikan hamper mengandungi beras, makanan kering dan beberapa barangan keperluan dapur lain.
Lebih 200 orang mendapat manfaat daripada hamper berkenaan.

