TRIANG – Menjejakkan kaki di FELDA Bukit Puchong, pasti sesiapa sahaja yang berada di sana akan terserempak dengan kelibat seorang lelaiki berusia 73 tahun.
Pasti seseorang akan tertanya-tanya siapa lelaki itu kerana kerap berjalan dari rumah ke rumah dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya.
Muhamad Amin Sardi, beliau adalah peneroka generasi pertama di FELDA Bukit Puchong, Pahang.
Beliau berjalan dari rumah ke rumah bagi menyelesaikan urusan penduduk selain ada yang meminta nasihat serta mengadu apa jua masalah berbangkit.

Bagi penduduk setempat, Muhamad Amin bukan sekadar seorang ketua kampung, juga adalah Pengerusi Masjid Ihsaniah Felda Bukit Puchong dan telah lebih 40 tahun mengabdikan diri kepada kerja-kerja kemasyarakatan.
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, beliau lahir di Tangkak, Johor sebelum berhijrah ke FELDA Bukit Puchong untuk membuka tanah rancangan dan menjadi peneroka.
Sudah pasti, ketika itu tugas berat menanti Muhamad Amin disebabkan kawasan yang hendak dibangunkan adalah hutan belantara.
“Memang kawasan ini tiada pembangunan kerana baru dibuka. Saya dan peneroka lain perlu menghadapi pelbagai cabaran demi sesuap nasi.
“Mungkin generasi peneroka seterusnya tidak mengalami apa yang dilalui peneroka generasi pertama.
“Tapi yakinlah bahawa apa yang dilakukan oleh peneroka generasi pertama adalah demi kehidupan pada masa hadapan dan bukan untuk diri sendiri, malah bagi membentuk ahli keluarga yang lebih baik dan bangsa yang kental,” katanya memulakan perbualan.
Beliau membesar dalam kehidupan yang sederhana dan sebagai peneroka FELDA, kehidupan awalnya dipenuhi dengan kerja keras dan disiplin.
“Generasi peneroka bukan sekadar membangunkan tanah. Mereka membangunkan komuniti, membina kehidupan baharu, membentuk masyarakat serta memupuk semangat kebersamaan,” tambahnya.
Daripada kehidupan itulah lahir sifat kepemimpinan dalam diri beliau. Perlahan-lahan, beliau mula terlibat dalam pelbagai urusan masyarakat sehingga akhirnya diberi kepercayaan untuk memimpin kampung.
Sehingga hari ini, pada usia yang tidak lagi muda, beliau masih aktif mengurus hal ehwal masyarakat dan masjid.
Tetapi mungkin perkara yang paling membanggakan bukanlah jawatan yang disandang.
Sebaliknya, nilai khidmat itu telah meresap ke dalam diri anak-anaknya.
Dengan memilik tujuh cahaya mata, lima lelaki dan dua perempuan, Muhamad Amin berbangga kerana anak-anak mengikut jejak langkahnya melibatkan diri dalam bidang agama.
Anak sulungnya, Izudin Muhamad Amin, 49, kini berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Imam Ash Shafie KotaSAS (MIASK), Kuantan. Pada masa sama, Izudin juga merupakan Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, selain aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan.
Anak kedua, Izurin, 46, pula memegang amanah sebagai Pengerusi Masjid Al Firdaus Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dan Yang Dipertua PIBG SK Taman Pasir Putih.
Sementara itu, anak ketiga juga kembaar, Izuwin, 46, menyumbang khidmat sebagai bilal di Surau Taman Senai Utama, Senai, Johor.
Seorang lagi anaknya, Izdihar, 38, kini berkhidmat sebagai Imam 2 di Masjid Tuanku Mukhriz, Jempol, Negeri Sembilan. Selain menjadi amil, beliau juga merupakan jurunikah bertauliah serta memegang amanah sebagai Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Serting 2.
Manakala anak bongsu, Izzamuddin, 27, pula bertugas sebagai Imam 2 di Masjid Ihsaniah FELDA Bukit Puchong, masjid yang sama dipengerusikan oleh ayahnya. Beliau juga memimpin komuniti sebagai Pengerusi Khairat Kematian FELDA Bukit Puchong.
Bagi keluarga ini, khidmat kepada masyarakat bukanlah sesuatu yang dirancang secara khusus.
Ia seolah-olah mengalir secara semula jadi dalam kehidupan mereka. Warisan yang bermula datuk mereka, Sardi Markam, seorang guru agama yang berkhidmat di surau Kampung Simpang Lima Darat.
Melihat kepada perjalanan ini, jelas bahawa keluarga ini telah melalui tiga generasi khidmat kepada agama dan masyarakat.
Menurut Muhamad Amin, tinggal di FELDA bukanlah sesuatu yang terasing atau jauh dari pembangunan bandar.
Jelasnya, di FELDA penduduknya sentiasa bersatu hati serta saling tolong-menolong apabila terdapat ahli kariah yang menghadapi masalah.
Sambil merenung jauh, Muhamad Amin menambah, dia berpuas hati kerana dapat memberi khidmat kepada peneroka.
“Mereka (peneroka) adalah keluarga saya. Sebuah keluarga yang besar.
“Susah atau senang, sama-sama kami harungi,” katanya.

