PUCHONG – Lebih 300 orang termasuk kalangan keluarga orang pekak hadir pada sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di sini.
Sambutan yang berlangsung lebih empat jam itu dimeriahkan dengan pelbagai jenis makanan tradisional seperti lemang, rendang, sate, biskut raya dan sebagainya.
Lebih menarik apabila kalangan yang hadir bukan sahaja terdiri daripada komuniti pekak yang mewakili negeri-negeri, malah melibatkan semua kaum.
Kehadiran tetamu yang disambut oleh oleh Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari, juga memperlihatkan kehadiran pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para usahawan, pengamal jurubahasa isyarat, tenaga pengajar dan kanak-kanak pekak bersama ibu bapa mereka.

Sazali ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana sambutan tersebut antara lain bukan sahaja untuk mengeratkan silaturahim, malah berkenalan semasa komuniti pekak.
Malah, Sazali sendiri tidak lekang melayani para tetamu sepanjang sambutan tersebut.
Sesuatu yang tidak boleh ditinggalkan pada sambutan Aidilfitri MFD itu ialah tetamu yang hadir turut menampilkan pakaian tradisional tanpa mengira kaum.
Pada sambutan itu juga, MFD menyampaikan bantuan bakul makanan seperti beras kepada kalangan keluarga pekak yang layak.
