PETALING JAYA – Tiga atlet pekak di bawah naungan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berkeyakinan dapat membawa pulang pingat pada Kejohanan Badminton Dunia Pekak di Deminas, Brazil bermula 10 Julai depan.
Keyakinan itu turut dikuatkan dengan kenyataan Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn bahawa tiga atlet berkenaan berterusan menunjukkan prestasi yang tinggi dalam latihan.
Tiga atlet badminton itu ialah Edmund Teo Seng Keong (Edmund Teo), Boon Wei Ying dan Foo Zu Tong.
Pada masa ini Edmund Teo dan Wei Ying menjalani latihan bersama manakala Zu Tong berlatih berasingan kerana sedang mengikuti pengajian di Taiwan namun latihannya dipantau oleh MSDeaf.
Berdasarkan prestasi dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini seperti Deaflympic Games ke 24 di Brazil pada pertengahan 2022 dan Asia-Pacific Deaf Badminton Championship dari 14 hingga 20 September 2022 di Thailand, semua atlet terbabit berjaya membawa pulang pingat sekaligus mengharumkan nama negara.
Namun dalam keghairahan menanti kejohanan di Brazil pada Julai depan, para atlet terbabit masih tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa sukan negara dilihat seolah-olah ‘pilih kasih’ dari segi pemberian insentif jika seseorang atlet itu berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas, perak mahupun gangsa.
Bagi mereka, atlet pekak tidak harus dibezakan atau diletakkan lebih rendah berbanding atlet orang kurang upaya (OKU) yang lain.
Bagi Edmund Teo, 17, yang menggalas tanggungjawab sebagai pemain perseorangan lelaki pekak negara dan juga beregu campuran, menyertai kejohanan antarabangsa serta mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas sudah menjadi harapan bagi dirinya.
“Saya mahu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Biar dunia ketahui bahawa atlet pekak badminton Malaysia adalah antara yang terkuat.
“Soal insentif tidak setaraf atau lebih rendah dari yang diterima berbanding atlet OKU lain, biarlah badan sukan negara fikirkan dan menilai sendiri prestasi serta kejayaan kami,” katanya ketika diwawancara menggunakan perantara jurubahasa isyarat di sebuah pusat latihan di sini.
Antara rekod cemerlang Edmund Teo ialah memenangi pingat perak bagi acara beregu campuran di Sukan Olimpik Orang Pekak ke 24 di Caxias do Sul di Brazil pada 2022 serta berjaya meraih naib juara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Orang Pekak Asia-Pasifik ke 3 bawah umur 21 tahun di Pattaya, Thailand pada September tahun yang sama.
Sementara itu, Wei Ying pula berkata, walaupun insentif diterima tidak sama seperti atlet OKU lain, namun beliau tidak pernah berkecil hati kerana yang penting ialah mengharumkan nama negara dan membawa pulang pingat.
Namun begitu, beliau mengharapkan badan sukan negara dapat mengkaji semula pemberian insentif itu supaya sama rata bagi mengelakkan rasa kecil hati kalangan atlet pekak.
“Yang penting semangat kesukanan dan atlet pekak dilayan sama seperti atlet OKU lain,” katanya yang pernah memenangi pingat emas dalam bergu campuran bergandingan dengan Edmund Teo di Sukan Olimpik Orang Pekak ke 24 di Caxias do Sul, Brazil.
Dalam pada ini, difahamkan pihak MSDeaf masih tertunggu-tunggu bajet yang diharapkan bagi menghantar tiga atlet berkenaan menyertai kejohanan di Brazil pada Julai depan.
Shin Ruenn memberitahu, MSDeaf sedang giat berusaha mencari dan merayu penaja walaupun kejohanan itu kian hampir.
“Jika masih tiada bajet dan tanpa bantuan tajaan, kita terpaksa batalkan hasrat untuk menghantar tiga atlet tersebut bertanding di Brazil,” katanya.