PULAU TIOMAN – Banyak tempat di negara ini yang memiliki keistimewaan tersendiri berkaitan bubur lambuk disebabkan ramuan atau kandungan ketika menghasilkannya.
Bagi penduduk Pulau Tioman, ‘Bubur lambuk pulau’ menjadi pilihan tradisi yang terkenal sejak dari generasi dahulu hingga kini.
Antara ramuan tradisional yang terdapat dalam ‘Bubur lambuk pulau’ ialah ikan yang direbus atau disalai terlebih dahulu sebelum dicampurkan ke dalam bubur berkenaan.
Pemilik Damai Resort di Kampung Genting di sini, Syed Rizalman Syed Abu Bakar memberitahu, setiap kali Ramadan, ramai kalangan penduduk Tioman menghasilkan ‘Bubur lambuk pulau’ termasuk secara bergotong-royong.
“Sama ada mereka yang tinggal di Kampung Genting, Mukut, Paya, Tekek dan beberapa kawasan sekitar Tioman, bubur lambuk tradisional ini sentiasa menjadi pilihan untuk berbuka puasa,” katanya selepas mengagihkan 200 bekas ‘Bubur lambuk pulau’ kepada penduduk di sini.
Menjelaskan lebih lanjut, Syed Rizalman memberitahu, ikan selayang atau ikan tongkol menjadi pilihan utama untuk menghasilkan bubur lambuk berkenaan.
“Ikan-ikan itu akan direbus atau disalai terlebih dahulu sebelum dicampurkan dalam bubur yang sedang dimasak. Namun, boleh juga menggunakan ikan-ikan jenis ikan lain,” katanya.
Selain itu, kata Syed Rizalman, pucuk paku merah dan hijau turut menjadi ramuan bubur lambuk berkenaan.
“Bahan-bahan lain antaranya ialah daun kadok, daun selasih, kunyit, lada hitam, halia, santan dan beberapa ramuan lagi.
“Untuk menyediakan bubur lambuk ini, ia perlu dimasak selama tiga hingga empat jam dengan beras terlebih dahulu direbus sebelum memasukkan ramuan-ramuan lain.
“Sepanjang masa ketika beras direbus sebelum memasukkan ramuan sedia ada, kita tidak boleh berhenti mengkacaunya bagi mengelakkan bubur menjadi hangit,” katanya.