KUALA LUMPUR, 12 Nov — Beberapa jurulatih pasukan Liga Malaysia menyifatkan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan saingan Piala Malaysia pada musim ini, sebagai perkara mengejutkan seluruh warga bola sepak di negara ini.
Ketua jurulatih Kuala Lumpur Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, beliau seakan tidak percaya dengan keputusan berkenaan, memandangkan skuad warga kota telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), pada saingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung minggu ini.
“Sejak saya menjadi jurulatih pada 2005, saya rasa ini adalah pengalaman paling pahit apabila Piala Malaysia dibatalkan dan rasanya semua orang pasti kecewa terhadap apa yang terjadi,” jelasnya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.
“Apa yang saya harapkan hanya satu, musim 2021 kita akan kembali merasai musim bola sepak yang kita rindukan selama ini iaitu semua pertandingan mampu dijalankan selain kehadiran penonton,” katanya yang membantu Kuala Lumpur layak ke saingan Liga Super pada musim hadapan, selepas muncul naib juara Liga Premier pada musim ini.
Berkongsi sentimen yang sama, Ketua Jurulatih Perak Mehmet Durakovic yang agak terkejut dengan pembatalan pertandingan bola sepak tertua negara, tetapi menerima keputusan pembatalan itu demi kepentingan kesihatan orang ramai dalam keadaan negara masih menghadapi pandemik COVID-19.
“Piala Malaysia adalah pertandingan paling berprestij di Malaysia dan paling tua di Asia Tenggara dan terdapat banyak sejarah yang boleh diperkatakan mengenai pertandingan ini.
“Saya masih ingat ketika Piala Malaysia dibatalkan pada 1947, dan apabila dibatalkan, ia satu keputusan mengecewakan dan tidak dapat diterima peminat bola sepak,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.
Piala Malaysia bukanlah asing bagi Durakovic yang memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut ketika bermain bersama Selangor dari 1995-1997, selain membawa Perak sebagai naib juara pada 2018.
Mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL yang bersidang hari ini, memutuskan untuk membatalkan baki saingan Piala Malaysia selepas rayuan mereka untuk meneruskan pertandingan berkenaan, ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akur dengan keputusan berkenaan, kerana kerajaan tidak membenarkan kejohanan itu diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
MFL pada Selasa lepas mengemukakan rayuan rasmi kepada MKN untuk meneruskan baki saingan Piala Malaysia pada musim ini dengan SOP ketat, termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat di tempat yang tidak dikenakan PKPB.
MFL mencadangkan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang digunakan sebagai gelanggang berkecuali, untuk aksi suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.
Aksi suku akhir Piala Malaysia menyaksikan juara bertahan JDT berdepan Kuala Lumpur; Pulau Pinang menentang UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak dan Kedah berdepan Selangor.
Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 Nov lepas sementara aksi suku akhir dijadual pada 12 dan 13 Nov, separuh akhir (17 Nov) dan final pada 22 Nov ini.
— BERNAMA