6 JAN : Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan memanggil Ibrahim Mat Zin, atau lebih dikenali sebagai Raja Bomoh untuk diambil keterangan berhubung satu ritual yang dilakukannya kononnya bagi menolak banjir baru-baru ini.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, selain Ibrahim, ritual yang dilakukan di Dataran Pengairan dan Saliran Teluk Intan, Perak itu turut melibatkan beberapa individu lain.
Justeru katanya, kesemua mereka akan dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
“JAIPk menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan perkara seumpama ini terutama perkara yang secara terang-terangan menjurus kepada khurafat,” katanya semalam.
Sebelum ini, tular di media sosial menunjukkan Ibrahim bersama seorang wanita melakukan ritual menepung tawar menggunakan beberapa bahan seperti kunyit, beras, daun dan bunga-bungaan yang kemudiannya dihanyutkan ke dalam laut.
Rakaman video berdurasi 25 minit itu turut memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Puteri Zaleha menyanyikan lagu Mayang Sari sambil meletakkan kitab suci al-Quran di hadapan mereka.