KUALA LUMPUR, 25 MEI 2022 – Beberapa pertubuhan industri vape tempatan yang mewakili 3,000 usahawan, pengilang, pengimport serta penjual produk vape di Malaysia hari ini membuat kenyataan bersama dan menzahirkan kebimbangan dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyamakan rokok dan vape berikutan pengumuman KKM berkenaan peraturan produk vape untuk dikawal selia sama seperti rokok.
Kenyataan bersama dari Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), dikeluarkan berikutan cadangan dari Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk melarang penjualan produk rokok termasuk produk vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.
Datuk Adzwan Ab Manas, Presiden MRECA berkata, “Cadangan ini memberikan kebimbangan kepada pemain industri vape tempatan yang selama ini dibiarkan umpama digantung tidak bertali. Industri telah memohon Kerajaan sejak 2015 untuk mengeluarkan peraturan kawal selia tetapi sehingga kini peraturan masih tidak diperkenalkan.”
“Pada Belanjawan 2022 tahun lepas, kerajaan baru mengumumkan cukai eksais yang tinggi kepada produk vape yang akan menjadikan produk jauh lebih mahal daripada rokok. Cadangan terbaru ini pula mengenakan peraturan yang sama seperti rokok ke atas industri vape dan ini adalah tidak munasabah bagi industri vape. Terdapat pelbagai bukti menunjukkan produk vape adalah kurang mudarat berbanding rokok dan oleh itu peraturan untuk produk vape dan rokok tidak boleh disamakan,” kata Datuk Adzwan.
Rizani Zakaria, Presiden MVIA turut mengulas, “Perlu dinyatakan, vape bukannya rokok tembakau dan peraturan sebegitu tidak patut dikenakan ke atas industri vape. Kami bersama industri tempatan telah lama bangkitkan kesemua bukti ini kepada Kerajaan. Namun pihak KKM masih lagi bertegas dan enggan untuk melihat sains dan fakta dalam membuat peraturan untuk vape.”
“KKM patut ambil pendekatan produk vape dijadikan alternatif untuk perokok dan bukannya mengenakan peraturan yang drastik untuk produk vape atau menyamakan peraturan vape dengan rokok,” tambah Rizani.
Ridhwan Rosli, Setiausaha Agung, DPVM berkata, “Cadangan generasi penamat KKM yang bersandarkan contoh dari negara New Zealand ini memerlukan lebih banyak perbincangan dalam perangkaan peraturan untuk industri vape. Di negara New Zealand, produk vape dikawal selia berlainan daripada rokok dan dipromosikan sebagai produk alternatif untuk perokok berhenti merokok dan tiada perbincangan berkenaan cadangan generasi penamat untuk vape. Manakala, cadangan daripada KKM pula menyamakan peraturan produk vape dengan rokok dan ini bukanlah suatu tindakan yang patut diambil memandangkan adanya potensi produk vape untuk membantu mengurangkan kadar perokok.”
Pada masa yang sama, industri juga dimaklumkan bahawa peraturan lain yang bakal diperkenalkan adalah ketat atau sama seperti rokok. Antaranya, had nikotin yang rendah dalam cecair vape, larangan penjualan produk vape atas talian, larangan penjualan ‘open system’, larangan promosi dan pengiklanan yang sama seperti rokok walaupun produk ini terbukti kurang mudarat berbanding rokok dan membantu perokok berhenti merokok.
Berkenaan cadangan larangan penjualan “open system”, Datuk Adzwan berkata larangan tersebut adalah tidak wajar kerana ini akan melumpuhkan industri tempatan.
“Larangan penjualan produk open system dan hanya membenarkan closed system untuk dijual di pasaran akan memberikan kesan yang amat besar kerana industri tempatan kebanyakannya terdiri daripada pengeluar cecair sedangkan produk closed system pula adalah diimport dari luar negara. Ini bukan sahaja akan melihat pengeluar tempatan gulung tikar dan memanfaatkan pegeluar di negara lain, malah akan memberikan impak kepada rantaian pengeluaran kelapa sawit tempatan memandangkan cecair e-liquid banyak menggunakan bahan mentah (vegetable glycerin) daripada industri kelapa sawit di Malaysia,” kata Datuk Adzwan.
“Sekiranya cadangan untuk melarang penggunaan open system adalah untuk mengelakkan produk disalahgunakan dengan bahan terlarang seperti THC yang terjadi di Amerika Syarikat beberapa tahun yang lepas, maka adalah penting untuk KKM membuat peraturan mengawal pengeluaran produk dan memastikan kawal selia dilaksanakan segera untuk melindungi pengguna. Antaranya adalah seperti menetapkan jumlah maksima setiap botol cecair vape, memastikan pembungkusan botol cecair vape mengikut standard antarabangsa dengan fungsi child lock, memastikan kandungan cecair di pasaran telah diuji dengan bukti kelulusan tercetak di label botol. Semua ini telah digunakai di negara seperti UK, Arab Saudi dan yang lain untuk mengawal selia dan bukannya membuat larangan tanpa mengambil kira kesan tindakan tersebut,” tambah Datuk Adzwan.
Pihak industri menyeru agar KKM memperhalusi semula kesemua cadangan ini kerana ia memberikan mesej yang salah kepada pengguna dan bertentangan dengan prinsip yang diamalkan di negara lain seperti di UK, New Zealand dan Kanada di mana mereka memperkenalkan peraturan yang spesifik untuk produk vape dan tidak menyamakannya dengan rokok. Ini adalah bertujuan untuk menyarankan perokok bertukar menggunakan vape kerana produk vape adalah kurang mudarat dan efektif untuk membantu perokok berhenti merokok.