SEREMBAN – Kira-kira 60 peratus veteran tentera di negara ini dikategorikan hidup susah dengan menerima pencen di bawah RM1,000.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Kapten (Bersara) Datuk Sharuddin Omar berkata, pencen mereka di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan 95 peratus daripadanya adalah dalam kalangan lain-lain pangkat yang menerima gaji rendah.
“Jadi apabila mereka pencen termasuk dalam kategori kemiskinan. Pencen diterima oleh mereka yang berpencen sebelum 2004 ialah bawah RM1,000.
“Contoh seorang pegawai waran yang pencen pada tahun 1990 hanya mendapat pencen antara RM500 ke RM600. Macam mana pula prebet?” Katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Amal 100 Tahun Veteran dan Perasmian Penutupan Persidangan Perwakilan PVATM Negeri Sembilan Kali Ke-68 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Katanya, oleh itu PVATM tidak pernah berhenti berjuang untuk mendapatkan penyelarasan pencen dan perkara itu dimaklumkan kepada kerajaan dari tahun 2014 tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan.
“Kita akan terus berjuang dan saya yakin cara perjuangan melalui rundingan, kefahaman dan tanggungjawab akan dapat dilaksanakan,” katanya.
Menurut Sharuddin, seramai 170,000 ahli veteran berusia lebih 60 tahun dan kebanyakannya mengalami masalah kesihatan.