WELLINGTON: Sebuah meteor melintasi ruang udara di ibu negara New Zealand yang menghasilkan suasana terang-benderang dan bunyi letupan, kata penduduk tempatan hari ini.
Pusat ramalan cuaca, MetService menerusi hantaran di Twitter berkata, radarnya mengesan jejak asap meteor terbabit.
Agensi geologi tempatan, GeoNet pula percaya mesin seismometernya mengenal pasti bunyi gelombang sekitar jam 1.50 petang (waktu tempatan).
Menurut seorang saksi, Mike Cousin yang ketika itu bekerja berhampiran Wellington melihat biliknya diterangi dengan sinaran berwarna biru-jingga.
“Saya lari keluar dan melihat jejaknya dan kemudian terdengar bunyi deram-derum perlahan, sama seperti permulaan gempa bumi,” katanya kepada Reuters.
Seorang Ahli Astronomi di Balai Cerap Mount John Universiti Canterbury, Alan Gilmore, menjelaskan meteor terang yang melalui ruang atmosfera sangat laju adalah kejadian yang jarang berlaku di kawasan bandar.
“Sinarannya sangat terang dan ia mesti sebuah objek yang agak besar,” kata Gilmore.
Tambahnya, letupan yang kedengaran dihasilkan meteor berkenaan menunjukkan ia datang dalam jarak 60 kilometer dari Bumi. – REUTERS