JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo menggesa pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla untuk mengeluarkan kereta serta bateri jenama itu di negara berkenaan.
Melalui temubual dengan berita Bloomberg, presiden yang terkenal dengan nama Jokowi, berkata, Indonesia mahukan ekosistem yang besar dalam penghasilan kereta elektrik, dan bukannya hanya menggunakan sumber aslinya bagi pembuatan bateri.
Beliau berkata, Indonesia juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai ke atas eksport nikel tahun ini bagi meningkatkan pendapatan negara itu.
Sebelum ini, Indonesia menyasarkan cukai itu boleh dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini kerana nikel ialah antara bahan utama digunakan dalam penghasilan bateri litium Tesla.
Jokowi dan wakil pegawai kanan kerajaan mengadakan pertemuan dengan pengasas Tesla, Elon Musk, awal tahun ini bagi mempertimbangkan cadangan menjadikan Indonesia sebagai hab pembuatan kereta, selain bateri.
Ketika pertemuan mereka pada Mei lalu itu, Jokowi menjemput Musk melawat Indonesia pada November ini ketika negara itu akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin bagi Kumpulan 20 ekonomi utama (G20).
Wakil Tesla bagaimanapun belum memberikan maklum balas sehingga kini. – REUTERS