SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menamatkan perkhidmatan pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap siswazah yang tular pada tahun lalu.
UiTM memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas prosedur soal siasat dan siasatan dalaman Jawatakuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi selesai.
“UiTM mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual seorang pensyarah pada seorang bekas siswazah.
“Universiti sudah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 yang tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam akta itu dan Peraturan UiTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, siasatan teliti dijalankan Unit Integriti UiTM bermula tahun 2021 terhadap bukti yang dikumpulkan, sebelum kesalahan dapat dibuktikan dan jenis hukuman ditentukan.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata warga universiti sentiasa diberi peringatan secara berkala perihal akta terbabit.
Katanya, jika warga universiti ingkar perintah atau berkelakuan yang boleh ditafsirkan ingkar perintah, universiti tidak akan mengambil tindakan keras, sekiranya disabit kesalahan.