fbpx

Indonesia lulus undang-undang haramkan seks sebelum berkahwin

JAKARTA – Parlimen Indonesia sebulat suara meluluskan undang-undang mengharamkan hubungan seks di luar perkahwinan semalam.

Turut diluluskan larangan menghina presiden serta institusi negara yang akan memberi kesan kepada pelawat asing serta rakyat tempatan.

Ia adalah sebahagian daripada rombakan kod jenayah negara yang ditunggu lama sejak bertahun lalu.

Kod baharu itu juga memperluaskan undang-undang menghina agama sedia ada dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun bagi penyimpangan daripada prinsip utama enam agama yang diiktiraf di negara itu iaitu Islam, Protestan, Katolik, Hindu, Buddha dan Konfusian.

Bagaimanapun, kod itu masih memerlukan kelulusan daripada Presiden, sementara pihak kerajaan mengatakan penguatkuasaan sepenuhnya tidak akan dilakukan bagi tempoh beberapa tahun ini.

Kod yang dipinda itu menakrifkan seks di luar perkahwinan boleh dihukum penjara setahun dan pertuduhan zina mestilah berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pasangan, ibu bapa atau anak-anak supek.

Rakyat juga mungkin berdepan hukuman penjara 10 tahun kerana bergaul atau menyokong pertubuhan yang mengikuti ideologi Marxist-Leninis dan hukuman empat tahun penjara jika menyebarkan fahaman komunis.

Dalam perkembangan itu, kumpulan hak asasi manusia mengkritik beberapa semakan itu sebagai terlalu luas atau samar dan bimbang penambahan kepada kod itu boleh menghukum aktiviti biasa dan mengancam kebebasan bersuara serta hak peribadi.

Bagaimanapun, beberapa penyokong memuji semakan kod undang-undang itu sebagai kemenangan untuk komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) negara.

Ini kerana selepas sesi perbincangan yang tegang, Ahli Parlimen akhirnya bersetuju untuk membuang artikel yang disyorkan kumpulan Islam yang akan melarang seks dalam kalangan homoseksual.

Kod yang disemak itu juga mengekalkan hukuman mati, walaupun terdapat gesaan daripada Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan kumpulan lain untuk memansuhkan hukuman mati.

Bagaimanapun kod baharu itu menambah tempoh penangguhan 10 tahun kepada pelaksanaan hukuman mati dan jika banduan berkelakuan baik dalam tempoh itu, hukuman mungkin dikurangkan kepada penjara sepanjang hayat atau penjara 20 tahun.

Di bawah peraturan Indonesia, undang-undang yang diluluskan Parlimen hanya menjadi undang-undang selepas ditandatangani Presiden.

Bagaimanapun, tanpa tandatangan Presiden, ia berkuat kuasa secara automatik selepas 30 hari, melainkan Presiden mengeluarkan peraturan khas untuk membatalkannya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, dijangka menandatangani semakan kod itu memandangkan proses kelulusan sudah dikaji panjang lebar di Parlimen.

Namun, menurut Timbalan Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Edward Hiariej, undang-undang itu mungkin dikuat kuasa secara beransur-ansur dalam tempoh sehingga tiga tahun.

“Banyak perkara berkaitan pelaksanaan memerlukan gerak kerja. Jadi, mustahil dilaksanakan dalam tempoh satu tahun,” katanya. – AP

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles