KAJANG – Tiada yang lebih menggembirakan bagi enam orang ahli keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mereka menerima zakat wakalah yang disampaikan oleh Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Negeri Selangor.
Antara penerima tersebut ialah Adarina Navia Muhamad Azizanhakin, 10, murid Sekolan Kebangsaan Kantan Permai di sini.
Kanak-kanak tersebut mengalami masalah tulang pinggul sementara bapanya adalah anggota polis yang bertugas di Bukit Aman, manakala ibunya seorang jururawat.
Kegembiraan Adarina jelas terbayang apabila menerima zakat wakalah yang disampaikan oleh Pengerusi RESPA Selangor, Datuk Zakaria Yusof dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.
Adrina ketika ditemui menyatakan kegembiraannya dan berkata, masalah kesihatan dialami tidak sekali-kali menghalangnya untuk tekun belajar.
Tambahan pula katanya, dia mempunyai ramai rakan-rakan dan guru-guru sekolah yang sering membantunya termasuk untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Pada majlis yang sama, RESPA Selangor melalui Ketua Polis Daerah Kajang turut menyerahkan kerusi roda kepada bekas anggota polis, Ahmad Nazeri Adam, 65, yang kehilangan kaki kiri akibat darah beku.

Ahmad Nazeri yang bersara sejak 2019 berkata, dia amat berterima kasih kepada RESPA Selangor kerana sentiasa prihatin terhadap keperluan bekas-bekas polis.
Sementara itu, Naazron dalam ucapannya mengingatkan setiap pegawai dan anggota yang masih bertugas agar sentiasa menyantuni bekas-bekas polis.
“Bekas-bekas polis ini juga adalah sebahagian daripada anggota keluarga kita. Jangan kita lupa, nanti sampai masanya kita juga akan bersara dari perkhidmatan ini,” katanya.
