KUALA LUMPUR – Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) hari ini tampil mengemukakan tujuh tuntutan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menambah baik infrastruktur di universiti berkenaan.
Tuntutan itu dibuat rentetan pengumuman mini Bajet 2023 pada sidang Parlimen kedua pada 20 Disember lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan lebih RM5 bilion kepada KPT.
“Kita meminta supaya Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meningkatkan peruntukan di Universiti Malaya.
“Peruntukan itu dapat digunakan untuk penambahbaikan Wi-Fi di universiti bagi menyelesaikan masalah Wi-Fi lembab yang sudah sekian lama terjadi terutamanya di ruangan pelajar mengulang kaji serta kolej kediaman.
“Selain itu bagi tujuan pembinaan kolej kediaman yang baharu untuk pelajar serta subsidi rumah sewa kepada pelajar golongan sasar B40 dan M40 yang menetap di luar kampus sekitar kawasan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya menuntut KPT supaya mempercepat proses naik taraf setiap kolej kediaman dan pengubahsuaian di Kolej Kediaman ke-13 Universiti Malaya yang sehingga kini masih terbengkalai.
“Penambahan sebanyak 10 buah bas serta menambah jumlah kekerapan perjalanan bas di kawasan dalam dan luar kampus serta mengurangkan masalah kesesakan mahasiswa dan mahasiswi yang terpaksa berhimpit sehingga boleh membahayakan keselamatan mereka.
“Serta menurunkan yuran sebanyak 40 peratus kepada pelajar yang berlatar belakangkan keluarga B40 dan M40 memandangkan kos sara hidup di bandar seperti kawasan Lembah Pantai yang semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, bagi tuntutan kelima, angkatan mahasiswa itu berkata, dengan peruntukan itu ia dapat memberikan subsidi harga tiket penerbangan kepada pelajar Borneo dalam kalangan keluarga B40 mahupun M40 pada musim perayaan.
“Keenam, pemberian bantuan kewangan secara ‘one-off’ dan bantuan kaunseling (psikologi dan moral) kepada pelajar dan keluarganya yang terbabit dengan musibah atau bencana alam serta terakhir menuntut supaya pengurangan caj yuran terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri di luar.
“Ini kerana tindakan mengenakan caj yuran kepada pelajar adalah sangat tidak relevan disebabkan mereka tidak menggunakan kemudahan dan fasiliti di kampus seperti bas, Wi-Fi, fasiliti sukan dan kemudahan-kemudahan lain yang dicaj sama seperti individu yang berada di dalam kampus,” katanya.
Tambahnya, tujuh tuntutan itu demi kebajikan pelajar di Universiti Malaya yang seharusnya menjadi keutamaan pihak KPT sebagai tunjang utama pembentukan hab pendidikan yang cemerlang di negara ini dan di peringkat antarabangsa.