SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menjalankan penguatkuasaan penggunaan pelitup muka dalam kalangan penyedia dan pengendali makanan serta minuman di negeri itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dalam tempoh satu hingga tiga bulan pertama, pemakaian pelitup muka itu lebih kepada proses pendidikan sebelum diwajibkan secara menyeluruh.
“(Belum dikuatkuasakan) ..sebab kita perlu melakukan beberapa pertambahan dalam Undang-undang Kecil (UUK) sebab ia membabitkan UUK di peringkat PBT…jadi kalau hendak laksanakan, kena ada pelarasan.
“Sekarang, kita melihat ada kepentingan kesihatan awam jika (penyedia dan pengendali makanan) memakai pelitup muka.
“Jadi pihak PBT cuba untuk (laksana) pendekatan secara perlahan-lahan ..mungkin pendekatan ini dibuat sebelum melaksanakan undang-undang supaya kompaun atau peraturan tertentu boleh dibuat kelak,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang yang mahu menguatkuasakan peraturan itu bermula 1 Januari ini dalam usaha meningkatkan kebersihan penyediaan makanan.
Mengulas lanjut katanya, selain menangani pandemik Covid-19, pendekatan dibuat PBT itu juga memberikan keyakinan kepada pelanggan ketika menyediakan dan menghidangkan makanan dilakukan.