KUALA LUMPUR – Kenaikan mendadak kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah pada masa ini pasti memberi kesan kepada kenaikan pakej umrah.
Justeru, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengingatkan bakal umrah agar bersiap sedia sekiranya berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.
Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Mohd Azri Abd Razak, berkata peningkatan harga hotel itu mengakibatkan harga pakej umrah yang sudah ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan, terpaksa dinaikkan.
“Kenaikan harga ini dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah.
“Ia berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas situasi pandemik COVID-19 beransur pulih.
“Bukan harga hotel sahaja yang meningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya hal berkenaan dikhuatiri menimbulkan kemarahan jemaah umrah yang mendesak untuk menurunkan kadar pakej umrah bagi mengekalkan harga yang ditawarkan oleh agensi pelancongan masing-masing.
Situasi itu juga, katanya menyebabkan pihak agensi pelancongan juga menghadapi kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan walaupun sudah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel.
“Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah.
“Dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, pihak MATTA meminta agar semua jemaah umrah untuk bersabar dan memahami situasi ketidaktentuan yang berlaku di Madinah dan Makkah,” katanya.