Kapal kargo Malaysia hilang sejak 10 hari lalu

JOHOR BAHRU – Sebuah kapal kargo yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak, dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria, berkata pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam, berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang berdaftar di Malaysia.

Beliau berkata, maklumat diterima ekoran laporan polis yang dibuat oleh ejen kapal itu pada jam 12.11 tengah hari semalam.

Menurutnya, laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

Katanya, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

“Maklumat terkini diperoleh pada 10.42 malam tadi, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

“Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya.

Nurul Hizam berkata, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo MV Dai Cat 06.

Menurutnya, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.

Katanya, nilai muatan kapal iaitu 527 batang besi adalah RM726,205.

“Kita tidak mahu membuat sebarang andaian apa yang terjadi tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

“Kita terus berkomunikasi dengan Indonesia dan meminta bantuan untuk mengesan kapal berkenaan,” katanya. – Berita Harian

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles