KATHMANDU – Sekurang-kurang 68 terkorban selepas sebuah pesawat membawa seramai 72 orang terhempas di Pokhara, hari ini.
Difahamkan, 15 warga asing turut terbabit dalam nahas udara terburuk sejak tiga dekad lalu di Nepal.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Jagannath Niroula.
Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan kepulan asap tebal dengan ratusan anggota berada di lokasi kejadian sekitar lereng bukit, manakala orang ramai dilihat turut berkumpul di kawasan bangkai kapal terbang itu.
“Pesawat itu terbakar,” kata pegawai polis, Ajay KC sambil memaklumkan anggota SAR berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian dalam gaung antara dua bukit yang terletak berdekatan lapangan terbang bandar pelancongan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa penerbangan dalam satu kenyataan, pesawat itu menghubungi lapangan terbang dari Seti Gorge pada jam 10.50 pagi sebelum terhempas.
Seorang penduduk tempatan, Arun Tamu memberitahu Reuters, beliau sampai ke lokasi kejadian beberapa minit selepas kapal terbang itu terhempas.
“Sebahagian daripada pesawat itu berada di lereng bukit, manakala sebahagian lagi terhempas ke dalam gaung di Sungai Seti,” katanya.
Insiden berlaku ketika pesawat dengan enjin berkembar, ATR 72 kendalian Yeti Airlines, berlepas dari Kathmandu dengan membawa 72 orang termasuk dua bayi dan empat kru, kata jurucakap syarikat penerbangan Nepal itu, Sudarshan Bartaula.
Seorang pegawai lapangan terbang Nepal pula memaklumkan, seramai 15 warga asing turut berada dalam kapal terbang berkenaan membabitkan lima warga India, Russia (empat), Korea Selatan (dua) dan Ireland, Australia, Perancis serta Argentina (masing-masing seorang).
ATR72 merupakan pesawat ‘turboprop’ enjin berkembar yang dikeluarkan hasil usaha sama Airbus dengan Leonardo dari Itali. Yeti Airlines memiliki enam kapal terbang ATR72-500, menurut laman sesawangnya.
Sejak 2000, sekurang-kurang 309 mangsa dilaporkan terkorban dalam nahas kapal terbang atau helikopter di Nepal – negara yang mempunyai lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest – berikutan ancaman keadaan cuacanya yang boleh berubah secara tiba-tiba. – Reuters