SEPANG – Mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang didera dan diseksa hanya rekaan semata-mata.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang mendedahkan perkara itu berkata, individu yang telah diselamatkan memberitahu kisah sebenar mereka bukanlah menjadi mangsa jenayah penipuan kerja.
“Saya pun amat terkejut kerana hasil siasatan pihak Kemboja sendiri mendapati mangsa sebetulnya bukan pun kes pemerdagangan manusia.
“Kita berasa ralat kerana pihak Kemboja mengakui kecewa apabila menjelaskan dakwaan konon ada mangsa diseksa sebagai amat tidak berasas,” katanya yang melakukan lawatan ke Kemboja sejak Selasa lalu yang berakhir hari ini.
Beliau berkata, ada juga yang berhutang amat banyak ekoran bermain judi di pusat kasino di sana selain mahu diselamatkan kerana tidak mampu membayar hutang ah long.
Tambahnya, ada yang memang didapati bekerja sebagai ‘scammer’ di sana, tetapi tidak dapat mencapai sasaran jualan yang ditetapkan dan mereka sebenarnya tidak pernah diseksa.
Abd. Jalil berkata, ada juga mangsa enggan tinggal di asrama pekerja, namun menetap di pelbagai hotel di Kemboja dan kemudian tidak dapat membayar bil dikenakan.
“Secara jujur, pihak sana hairan kerana rakyat negara itu tidak sabar mahu kerja di negara kita yang lebih baik tetapi pelik ada pula warga Malaysia hendak kerja di sana,” katanya.