KUALA LUMPUR – Purata pengguna internet di Malaysia berusia antara 16 hingga 64 tahun, menghabiskan masa selama dua jam 47 minit menggunakan media sosial setiap hari, lebih tinggi berbanding purata global iaitu dua jam 31 minit, demikian menurut laporan Digital 2023.
Laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Meltwater, pemimpin global dalam maklumat media dan sosial serta We Are Social, sebuah agensi kreatif sosial itu mendapati, pengguna Internet di Malaysia secara purata menggunakan tujuh media sosial dan majoriti atau 58.7 peratus menggunakannya untuk mendapatkan maklumat mengenai jenama.
Antara penemuan penting lain laporan yang mengkaji trend media sosial dan digital di seluruh dunia itu adalah, 40.9 pengguna internet di Malaysia menggunakan laman web atau aplikasi perbankan, pelaburan dan insurans setiap bulan, mengatasi penanda aras global pada 27.7 peratus.
Selain itu, 94.7 peratus pengguna internet di Malaysia berusia 16 hingga 64 tahun menonton kandungan televisyen melalui perkhidmatan penstriman (seperti Netflix) setiap bulan berbanding penanda aras global 90.9 peratus.
Laporan turut mendapati 87.4 peratus pengguna internet di Malaysia berusia 16 hingga 64 tahun, bermain permainan video di mana-mana peralatan, jauh lebih tinggi berbanding penanda aras global 81.9 peratus.
“63.8 peratus golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas menyatakan bimbang maklumat sebenar atau palsu di internet, lebih tinggi berbanding purata global 53.9 peratus,” jelas laporan itu.
Ia juga mendapati, Malaysia adalah negara kelapan yang mempunyai capaian iklan TikTok paling tinggi di dunia dalam kalangan pengguna dewasa.
Secara keseluruhan, laporan Digital 2023 menunjukkan pengguna internet yang biasa di seluruh dunia mengurangkan pengguna internet harian mereka selama 20 minit sejak 12 bulan lalu kepada enam jam 37 minit, bersamaan dengan penurunan tahunan hampir lima peratus.
Bagaimanapun, masa yang dihabiskan di dalam platform sosial meningkat kepada lebih dua setengah jam sehari, 40 minit lebih lama berbanding masa yang dihabiskan untuk menonton siaran televisyen atau kabel.
Analisis data menunjukkan bahawa pengguna cenderung menggunakan internet dengan lebih bermakna, dengan fokus terhadap kualiti berbanding kuantiti.
Kadar penggunaan harian kembali ke paras 2019, sebelum pandemik COVID-19 memberikan impak besar kepada tabiat digital dunia. – BH Online