ANTAKYA: Seorang remaja lelaki yang belajar menggunting rambut untuk mendapatkan wang pada masa lapang, tidak pernah membayangkan akan mempamerkan kemahirannya di kem mangsa gempa bumi di Turkiye.
Mohammed al-Hamo yang berusia 18 tahun menawarkan khidmat memotong rambut kepada keluarganya dan mangsa lain yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.
“Saya tidak berjaya menyelamatkan kesemua peralatan saya sehingga sekarang. Hanya sempat mendapatkan semula pencukur elektrik, sikat, gunting dan syampu daripada serpihan rumah saya yang musnah,” katanya.
Walaupun Mohammed masih mempunyai saudara mara yang hilang berikutan gempa bumi yang mengorbankan lebih 46,000 orang, namun keluarga terdekatnya terselamat tanpa cedera.
Bapa Mohammed, Khaled berkata, selain potongan rambut percuma, dua anak lelakinya turut menawarkan diri untuk membantu penduduk lain di kawasan kem mangsa gempa di sebuah taman di bandar Antakya di tenggara Turkiye.
Malah beliau juga membantu membersihkan kem dan bekerja dengan agensi bantuan Bulan Sabit Merah.
“Kod moral kami memberitahu kami untuk membantu orang yang memerlukan, kami tidak perlu menunggu seseorang memberitahu kami tentangnya,” kata Khaled.
Berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria dan ramai terpaksa tinggal di dalam khemah daif dengan sanitasi, akses kepada bekalan elektrik dan penjagaan kesihatan yang sangat terhad.-Sumber Utusan Malaysia Online & AFP