GUA MUSANG: Sepasang suami isteri warga emas yang mengusahakan sebuah warung di Bandar Lama di sini mendedahkan masih mendapat untung walaupun menjual set sarapan Menu Rahmah pada harga RM5.
Walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah Hamzah Daud, 73, dan isteri, Siti Fatimah Omar, 67, nekad membantu golongan yang kurang berkemampuan selain tujuan bersedekah.
Hamzah atau mesra dengan panggilan Pok Joh yang berniaga lebih 50 tahun lalu berkata, dia bersyukur apabila lebih 100 set Menu Rahmah terjual setiap hari.
“Sebelum ini nasi ayam gulai atau ayam goreng bersama teh O ais dijual dengan harga RM7. Namun kini kami hanya menjualnya dengan harga RM5.
“Bagi kami harga Menu Rahmah sudah boleh memberi untung walaupun berbeza harga dengan sebelum ini dan kami anggap air yang disediakan bersama nasi dalam Menu Rahmah ini sebagai sedekah kepada pelanggan yang datang,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya di Bandar Lama di sini hari ini.
Pok Joh memberitahu, sejak menu itu diperkenalkan pada minggu lalu dia dan isteri tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang untuk menikmati hidangan tersebut.
Katanya, set tersebut dijual pada waktu pagi sahaja bermula jam 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Selepas waktu itu, kedai ini akan menjual pelbagai menu masakan panas dan aneka pilihan sup. Sambutan amat menggalakkan dan kami terpaksa menambah pekerja dan kini terdapat 10 orang pekerja di kedai ini.
“Kami difahamkan hanya dua kedai sahaja di daerah ini yang menyediakan Menu Rahmah dan berharap lebih ramai lagi pelanggan mengikut jejak kami,” katanya. – Sumber Utusan Malaysia Online