RIYADH: Sebuah bas yang membawa jemaah umrah ke kota suci Mekah terbakar selepas berlaku perlanggaran di sebuah jambatan yang membunuh 20 orang dan mencederakan lebih puluhan yang lain.
Lapor AFP, insiden di wilayah selatan Asir itu secara tidak langsung menunjukkan cabaran berterusan dalam urusan pengangkutan jemaah ke Mekah dan Madinah.
Kemalangan itu berlaku pada minggu pertama Ramadan iaitu pada waktu sibuk untuk jemaah melakukan umrah dan ziarah selain hanya beberapa bulan sebelum jutaan umat Islam dijangka menunaikan haji.
“Menurut maklumat awal yang kini kami terima, jumlah kematian dalam kemalangan ini mencecah 20, dan jumlah kecederaan adalah kira-kira 29,” lapor saluran Al-Ekhbariya yang bersekutu dengan kerajaan.
Media tempatan berkata, mangsa mempunyai kewarganegaraan berbeza tetapi tidak menyebut butiran terperinci atau memberikan pecahan.
Lapor akhbar swasta, Okaz, kemalangan itu berpunca daripada masalah brek, kemudian berlanggar dengan jambatan, terbalik dan terbakar.
Membawa jemaah di sekitar tapak suci Arab Saudi adalah tugas yang berbahaya, terutamanya semasa musim haji kerana jalan raya boleh menjadi huru-hara dengan bas yang banyak menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak berkesudahan.
Pada Oktober 2019, kira-kira 35 warga asing terbunuh dan empat lagi cedera apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah lagi kenderaan berat berhampiran Madinah.
Ziarah adalah komponen penting dalam sektor pelancongan yang sedang berkembang di Arab Saudi bagi membantu mempelbagaikan ekonomi kerajaan daripada bahan api fosil. (Sumber Utusan Malaysia Online)